Eco-Cruise Sungai Linggi jadi ‘contoh’ negeri lain
BANDARAYA MELAKA 12 Julai – Eco-Cruise Sungai Linggi menjadi penanda aras dan contoh kepada pihak luar berminat untuk melaksanakan atau mewujudkan produk ekopelancongan di negeri masing-masing.
Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Khairunnisa Ibno Masooda berkata, sejak dilancarkan hujung tahun lalu produk ekopelancongan itu menerima jumlah kehadiran pengunjung yang amat memberangsangkan.
Berdasarkan rekod, Khairunnisa berkata, tempahan banyak dibuat oleh pengunjung dari luar Melaka khususnya mereka yang datang secara berkumpulan bagi menikmati keindahan flora dan fauna sambil menelusuri Sungai Linggi.
“Wakil luar Melaka seperti Majlis Daerah Kota Tinggi, Johor; Lawatan Penanda Aras daripada Jabatan Kerajaan Negeri Sembilan; Stesen Televisyen Brunei dan beberapa pihak lain atara yang datang melihat sendiri apa yang ada di Eco-Cruise Sungai Linggi. Produk ekopelancongan Melaka ini menjadi contoh kepada orang luar.
“Dimaklumkan Eco-Cruise Sungai Linggi yang mempunyai tiga atau empat ‘pitstop’ itu agak terkenal di platform sosial media dalam kalangan pengunjung luar khususnya dari Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Khairunnisa berkata bermula Januari hingga 7 Julai lalu, seramai 1,300 pengunjung telah direkodkan menaiki Eco-Cruise Sungai Linggi.
“Saya yakin produk pelancongan baharu ini akan menggamit lebih ramai pengunjung domestik dan antarabangsa khusus menjelang musim cuti persekolahan.
“Kami telah menerima beberapa tempahan awal membabitkan pelajar dan guru sekolah dalam dan luar negeri,” katanya.
BOT Eco-Cruise Sungai Linggi menyusuri sungai sempena menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024). Foto Muhammad Rasul Azli Samad
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.