Sorting by

×

Laksamana Cheng Ho, lambang persahabatan dua negara

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

REMBIA 12 Julai – Sebuah daripada mana-mana sekolah menengah atau rendah di negeri ini dicadangkan untuk menggunakan nama Laksamana Cheng Ho yang terkenal dalam perhubungan antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan itu juga bertujuan untuk menterjemahkan simbolik perpaduan antara kaum seperti yang dibawakan Laksamana Cheng Ho, pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Kata beliau, cadangan itu boleh menjadi titik permulaan dalam mendidik masyarakat bahawa hubungan antara kerajaan Melayu di Melaka bersama China dahulu telah lama terjalin sejak 600 tahun dan kekal sehingga ke hari ini.

“Semua ini sebagai simbolik kepada perpaduan yang dijalin, dalam meraikan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China selama 50 tahun.

“Semangat yang dibawakan Laksamana Cheng Ho ini harus dijadikan sebagai lambang kepada perpaduan antara kaum Melayu dan Cina di Malaysia, ‘Cheng Ho is the icon of unity’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis dan Ahli Majlis Turut Hadir Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka Tahun 2024 hingga 2025 diadakan di Majlis Perbandaran Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yassin serta tetamu lain.

Menurut Ketua Menteri, Melaka dianggap bertuah kerana sejarah negeri ini turut terkandung dalam sistem pendidikan negara China berdasarkan keperibadian yang dibawa Laksamana Cheng Ho.

“Dalam silibus pendidikan sejarah negara China menceritakan kehebatan Melaka, negeri ini telah dilawati Laksamana Cheng Ho sebanyak lima kali. Melaka merupakan antara negeri yang paling istimewa.

“Perpaduan dijalin sejak beratus tahun ini harus dijadikan satu semangat kepada lambang perpaduan selain setia kawan supaya sejarah ini segar dalam minda generasi muda,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

376
Kongsi :
Previous post Melaka negeri pertama lantik Ahli Majlis PBT dalam kalangan tentera
Next post Eco-Cruise Sungai Linggi jadi ‘contoh’ negeri lain
Ubah saiz-+=