Sorting by

×

‘Low investment, high impact’, Melaka tarik lebih ramai pelancong China

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

SERI NEGERI 11 Julai – Pelantikan Fan Bingbing sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka nyata membawa impak besar apabila negeri ini mendapat perhatian meluas daripada pelancong China.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, strategi ‘Low Investment, High Impact’ sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) itu terbukti berjaya apabila lebih 1 bilion carian nama ‘Fan Bingbing’ dan ‘Melaka’ di aplikasi WeChat China sekali gus dapat mempromosikan pelancongan Melaka kepada lebih daripada 65 juta pengikutnya.

Tambah beliau, sepanjang Julai ini juga dianggarkan lebih 200,000 pelancong dari Tembok Besar itu akan menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan.

“Mengikut statistik Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) menerima kedatangan 438 penerbangan dari China setiap minggu.

“Mengikut statistik suku tahun 2024, Malaysia menerima 960,000 pelancong China, di mana 60 peratus daripadanya telah melancong ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Ab Rauf melaungkan keyakinan usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bersempena TMM2024 itu bakal menggamit lebih ramai pelancong membanjiri Melaka.

“Ia sekali gus meningkatkan hasil ekonomi Kerajaan Negeri serta memposisikan kedudukan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan yang terunggul di mata dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

157
Kongsi :
Previous post Melaka kenal pasti 6 lokasi parkir bertingkat
Next post Melaka Sentral dibina semula hujung tahun ini
Ubah saiz-+=