Melaka tubuh Jawatankuasa Kesesakan Lalu Lintas

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

SERI NEGERI 11 Julai – Jawatankuasa Kesesakan Lalu Lintas ditubuhkan di Melaka bagi mengatasi isu kesesakan yang berlaku di negeri ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, penubuhan jawatankuasa yang diputuskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menetapkan jawatankuasa itu akan mencari kaedah terbaik untuk mengatasi permasalahan tersebut.

Katanya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan beliau bersama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

“Menerusi keputusan MMKN sebelum ini kita diminta bersama-sama menggariskan pelaksanaan supaya jawatankuasa ini dapat membantu mengatasi kesesakan teruk di sekitar Melaka terutama di dalam kawasan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir.

“Jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Polis Diraja Malaysia (PDRM), kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelbagai agensi lain untuk terlibat dalam inisiatif ini.

“Ia akan dilaksanakan sebulat suara dalam perbincangan semeja supaya seluruh kawasan di Melaka termasuk Zon Bebas Kenderaan yang terlibat dengan isu kesesakan ini diatasi dan sekali gus memberi nilai tambah kepada usaha Kerajaan Negeri dalam mengatasi perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di sini, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

154
Kongsi :
Previous post CMI Infra sedia bantu selesai aduan rakyat
Next post UNIMEL adakan kunjung hormat ke Melaka Hari Ini
Ubah saiz-+=