Melaka belum bercadang laksana ‘Bila Larut Malam’ setiap minggu
SERI NEGERI 11 Julai – Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk melaksanakan Program Melaka Bila Larut Malam pada setiap minggu buat masa ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, buat masa ini ia kekal diadakan pada Sabtu pertama setiap bulan bagi memastikan kelainan yang dicipta itu kekal eksklusif sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Kerajaan Negeri telah menjalankan kajian sebelum pelaksanaan program terbabit dan melihat implikasi pelaksanaannya.
“Setakat ini, Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk melaksanakan Melaka Bila Larut Malam setiap minggu kerana ia akan melibatkan implikasi besar kepada produk pelancongan terbabit apabila menawarkan kemasukan serendah RM10 sahaja.
“Program Melaka Bila Larut Malam berupaya memberi nilai tambah kepada ekonomi rakyat dan jika dilaksanakan setiap minggu tiada keterujaan dan kelainan di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan daripada Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di sini, hari ini.
Sebelum itu, Abdul Razak menjawab soalan lisan daripada Leng Chau Yen (PH-Bandar Hilir) mengenai keberkesanan penganjuran Program Melaka Bila Larut Malam yang diadakan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.