Pelbagai promosi pelancongan bersama Fan Bingbing
SERI NEGERI 9 Julai -Kerajaan Negeri akan merangka lebih banyak program promosi pelancongan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM24) bersama Duta Setiakawan Pelancongan Melaka Fan Bingbing.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, dengan populariti yang dimiliki aktres Antarabangsa China itu kerjasama yang terjalin itu akan memberi impak positif kepada negeri Melaka khususnya dalam sektor pelancongan.
“Kita tidak akan mensia-sia dengan perbelanjaan yang sudah dikeluarkan sudah pasti banyak perancangan untuk kita (teruskan) dengan populariti Fan Bingbing.
“Sekarang saya menunggu persetujuan dari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk merangka apakah program-program untuk promosi Melaka dengan menggunakan Fan Bingbing ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN – Rim) berhubung perancangan Kerajaan Negeri untuk mempromosikan pelancongan dengan susulan pelantikan Fan Bingbing sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka.
Mengulas lanjut, Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata, Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) akan menggunakan sepenuhnya peluang kerjasama yang terjalin bersama pelakon My Fair Princess itu.
“Kita tidak akan mensia-sia dengan perbelanjaan yang dikeluarkan ini sudah pasti banyak perancangan untuk kita (menggunakan) populariti Fan Bingbing.
“Malah kita akan teruskan promosi ke peringkat antarabangsa juga dan perkara ini sudah dilakukan Fan Bingbing apabila dia yang ke Perancis selepas berada di negeri ini mempromosikan Melaka, di sana,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.