Ahmad Abrar tokoh anak muda Islam Melaka
PAYA RUMPUT 7 Julai – Bergelar johan dalam pertandingan tilawah al-Quran kebangsaan di peringkat sekolah rendah dan menengah melayakkan Ahmad Abrar Azraie, 17, diiktiraf sebagai tokoh anak muda Islam Melaka.
Ahmad Abrar merupakan penerima Tokoh Tunas Harapan (Anugerah Uwais Al-Qarni), pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024 di Stadium Hang Jebat, di sini.
Menurut Ahmad Abrar, dia sama sekali tidak menyangka akan terpilih menerima anugerah tersebut daripada Kerajaan Negeri, namun bersyukur kerana sumbangannya dalam mengharumkan nama Melaka dihargai.
“Antara pencapaian saya ialah mewakili Malaysia bagi kategori remaja di Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Iran tahun ini, namun belum rezeki saya untuk muncul juara.
“Sekarang, fokus utama saya adalah untuk menghabiskan pengajian 30 juzuk al-Quran di madrasah,” katanya yang juga merupakan anak kepada Qari terkenal, Ustaz Azraie Abdul Hak.
Terdahulu, Ahmad Abrar menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ditanya mengenai harapannya, Ahmad Abrar berharap anak muda di Negeri Melaka dapat terus mengamal dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Paling utama, katanya, adalah menunaikan solat lima waktu, selain menjaga adab bersama orang tua.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.