Liga Melaka sedia pemain bola sepak masa depan

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

PAYA RUMPUT 6 Julai – Saingan Liga Melaka 2024 yang membuka tirai, hari ini, bakal menjadi medan dalam melahirkan pemain bola sepak masa depan untuk Negeri Melaka dan negara.

Itu antara hasrat dizahirkan Ketua Menteri merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut Ab Rauf, pertandingan yang dikembalikan semula selepas dua tahun itu juga diharap dapat menyemaikan semangat kesukanan dan kecintaan terhadap sukan nombor satu negara itu.

“Saya juga berharap anak-anak yang dipupuk semangat dalam sukan bola sepak ini akan terus aktif dan membantu Melaka kembali semula ke dalam saingan Liga Super sekiranya diizinkan daripada sudut kewangan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Liga Melaka 2024 di Padang 10 Wisma MAFA, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Timbalan Presiden MAFA Datuk Mohd Saiful Mat Sapri dan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noorazman Ab. Rahman.

Turut hadir, Penolong Pengarah Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka Mohd Khairol Kamis; Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal; Setiausaha Agung MAFA Datuk Karim Yaacob; Naib Presiden MAFA merangkap Pengerusi Pertandingan dan Kepengadilan MAFA Datuk Khairi Anuar Ahmad serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, saingan Liga Melaka 2024 akan membabitkan sebanyak 32 pasukan yang akan beraksi dalam saingan Divisyen 1, Divisyen 2 dan Divisyen 3.

Divisyen 1 menyaksikan saingan 10 pasukan seperti MBMB Warriors, Andalas, Bertam Ulu, Duyong Fighters, Hulubalang, Panglima, Perma, PSP Tedong dan Teman FM yang akan berentap dalam satu liga dengan setiap pasukan akan bertemu antara satu sama lain bagi merebut satu slot kelayakan ke saingan Liga A2 di bawah Amateur Football League (AFL) pada musim seterusnya.

Saingan Liga Melaka Divisyen 2 pula, ujar beliau, bakal menyaksikan 12 pasukan mengambil bahagian yang dipecahkan kepada dua kumpulan liga, manakala saingan Divisyen 3 pula menampilkan 10 pasukan mengambil bahagian yang juga dipecahkan kepada dua kumpulan liga.

Pada majlis itu, Ab Rauf turut mengumumkan saingan Divisyen 1 akan dijenamakan sebagai Piala Yang Amat Berhormat Presiden Liga Divisyen 1 MAFA.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

828
Kongsi :
Previous post 27 NGO, organisasi Islam Melaka sokong RUU Mufti Wilayah Persekutuan
Next post Melaka komited bangunkan masyarakat luar bandar
Ubah saiz-+=