Yayasan Restu pilih lebar sayap di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 6 Julai – Yayasan Restu iaitu pertubuhan yang menjalankan usaha penyalinan mushaf al-Quran pertama negara memilih Melaka sebagai lokasi cawangan keempatnya di negara ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri amat berbangga apabila yayasan yang memiliki pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Pusat Percetakan Al-Quran Al Malik Fahd di Madinah memilih negeri ini sebagai destinasi untuk melebarkan empayar perniagaan dan syiar Islam.

Jelas Ketua Menteri, langkah itu dilihat mampu mengangkat semula Melaka sebagai pusat perdagangan dan penyebaran Islam terkemuka pada kurun ke-14 lalu.

“Kerajaan Negeri berbesar hati apabila Yayasan Restu yang merupakan pertubuhan yang menjalankan usaha penyalinan mushaf al-Quran pertama negara memilih untuk bertapak di Melaka sebagai destinasi cawangan keempat sebagai Yayasan Restu Wilayah Selatan.

“Usaha ini dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan agama Islam di samping melaksanakan inisiatif yang mengagungkan Kitabullah untuk disebar luas kepada seluruh masyarakat khususnya di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya merasmikan Ekspo Al-Quran dan Produk Seni bersama Pelancaran Buku Sirah Terbesar dan Yayasan Restu Wilayah Selatan sempena Maal Hijrah 1446H di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, dengan adanya pusat terbabit di Melaka, jejak perkembangan Islam akan sentiasa menjadikan negeri ini sebagai pusat penyebaran naskhah al-Quran.

“Pusat ini difahamkan akan menjadi lokasi penyambung khazanah al-Quran kepada generasi akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

138
Kongsi :
Previous post Ekspo Al-Quran selama 10 hari di Melaka
Next post DTRC panjangkan jangka hayat tapak pelupusan Melaka
Ubah saiz-+=