Melaka bakal wujudkan pusat penjaja Islam

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 6 Julai – Laluan di antara Hotel Muzaffar dan replika Kapal Cheng Ho di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, bakal diangkat menjadi pusat penjaja Islam tidak lama lagi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan itu akan disokong penuh oleh Kerajaan Negeri selepas ia dikemukakan kelak.

Beliau berkata, apabila direalisasi, kawasan tersebut akan berubah wajah menjadi pusat ekonomi rakyat berlandaskan syariat Islam di negeri ini.

“Kita akan jadikan laluan ini di antara Hotel Muzaffar dan replika kapal Cheng Ho sebagai pusat penjaja-penjaja Islam.

“Kita akan teliti dan memberi sokongan kepada cadangan ini selepas ia dikemukakan kepada Kerajaan Negeri.

“Sudah pasti kita akan menyokong supaya pusat ekonomi rakyat berlandaskan syariat ini akan ada di bumi Melaka tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo Al-Quran dan Produk Seni bersama Pelancaran Buku Sirah Terbesar dan Yayasan Restu Wilayah Selatan sempena Ma’al Hijrah 1446H di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa dan lain-lain kenamaan.

Pada majlis itu juga, Ab Rauf menjadi saksi Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Yayasan Restu Malaysia dan Rahmat Foundation, Medan, Indonesia.

Ketua Menteri turut melancarkan aplikasi M-Quran iaitu al-Quran dalam bentuk digital yang dikeluarkan oleh Yayasan Restu Malaysia bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat amalan melazimi al-Quran dengan cara terkini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

224
Kongsi :
Previous post Lelaki dikhuatiri lemas terjun Sungai Golok semasa operasi polis
Next post Ekspo Al-Quran selama 10 hari di Melaka
Ubah saiz-+=