27 NGO, organisasi Islam Melaka sokong RUU Mufti Wilayah Persekutuan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 6 Julai – Sebanyak 27 badan bukan kerajaan (NGO) dan Organisasi Melayu Islam (Ahli Sunnah Wal Jama’ah) Negeri Melaka menyatakan sokongan dan solidariti penuh terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan (WP) yang bakal dibentang di Parlimen, Selasa depan.

Jurucakap Solidariti RUU Mufti WP, Ahmad Syarifudin Samsudin Al Fahani berkata, RUU terbabit akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Naim Mokhtar.

Menurut beliau, RUU itu antara lain membentang serta mentakrifkan secara terperinci apa sebenarnya aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ).

“RUU ini juga mampu mengekang fahaman-fahaman yang sesat dan bercanggah dengan ASWJ serta aliran-aliran dan ideologi ekstrimisme serta mampu membersihkan nama ASWJ daripada terpalit dengan ideologi keganasan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama dengan 27 NGO dan Organisasi Islam Negeri Melaka.

Img 20240705 Wa0015

Ahmad Syarifudin berkata, aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah ini merupakan akidah rasmi bagi umat Islam di Malaysia sejak zaman-berzaman.

Malah, ujarnya, ia juga telah ditegaskan Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) menerusi keputusan Muzakarah kali ke-106 pada tahun 2014 yang menjelaskan bahawa aliran ASWJ adalah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyah serta mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

Tambahnya lagi, perkara itu juga telah menjadi pewartaan di dalam hampir keseluruhan negeri-negeri di Malaysia antaranya, Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor dan Perak.

“Kesahihan akidah ialah sesuatu yang perlu di pandang penting bagi memastikan generasi yang akan datang tidak terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang sesat dan menimbulkan perpecahan serta kucar-kacir dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

“Oleh yang demikian, kami sekali lagi menyatakan solidariti dan sokongan penuh terhadap RUU Mufti Wilayah Persekutuan serta menyeru setiap umat Islam, NGO dan organisasi Melayu Islam yang ada untuk menyokong RUU ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

291
Kongsi :
Previous post Hanya durian ‘klon’ dieksport ke China
Next post Liga Melaka sedia pemain bola sepak masa depan
Ubah saiz-+=