Bila Larut Malam: Zoo Melaka pentingkan keselamatan, keselesaan pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Operasi Night Safari Zoo Melaka sempena program Melaka Bila Larut Malam edisi kedua pada 13 Julai ini ditambah baik bagi memastikan keselesaan pengunjung.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata, antara penambahbaikan yang dilakukan adalah pengunjung yang telah membeli tiket pada harga RM10 akan terus dibenarkan memasuki kawasan zoo tanpa perlu beratur berbanding penganjuran sebelum ini.

Katanya, langkah itu bagi memastikan perjalanan keluar masuk pengunjung di dalam zoo berjalan lancar terutama bagi penggunaan perkhidmatan ‘buggy’ yang disediakan khas untuk program ini.

Menurut Sapiah, sama seperti sebelum ini, pengunjung tidak dibenarkan berjalan kaki di dalam kawasan zoo bagi tujuan keselamatan.

“Kita akan membuka kaunter tiket pada jam 9 malam dan pengunjung yang telah membeli tiket dibenarkan untuk terus masuk ke dalam zoo berbanding terpaksa beratur dan menunggu seperti sebelum ini. Ini bagi menambah baik mutu perkhidmatan demi keselesaan pengunjung.

“Kaunter tiket bagaimanapun hanya akan dibuka sehingga 11 malam dan operasi zoo akan tamat pada jam 12 tengah malam, namun bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Sapiah, untuk edisi kedua Melaka Bila Larut Malam, pihaknya turut bercadang untuk membawa pengunjung melihat kehidupan Elsa, iaitu seekor harimau putih yang kini semakin sihat selepas diserang penyakit sebelum ini.

Namun, katanya, semua itu bergantung kepada khidmat nasihat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Haiwan (PERHILITAN).

“Seperti sebelum ini, kita akan membawa pengunjung melihat haiwan-haiwan nokturnal (aktif pada waktu malam) seperti gajah, zirafah dan lain-lain.

“Pertunjukan haiwan juga akan tetap diadakan, namun Dinosaur Encounter kekal ditutup kepada pengunjung atas faktor-faktor keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Zoo Melaka & Taman Burung dalam satu kenyataan memaklumkan pengunjung tidak dibenarkan membawa lampu suluh, kamera, drone, tripod atau kamera yang mempunyai lensa melebihi 30 milimeter, selain tidak dibenarkan membuat sebarang siaran langsung menerusi laman sosial ketika berada di dalam kawasan zoo.

Kata kenyataan itu, pemakaian kasut bertutup dan bersesuaian amat digalakkan, manakala wanita hamil, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), bayi atau kanak-kanak berumur bawah tiga tahun tidak disarankan untuk mengunjungi zoo pada waktu tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1241
Kongsi :
Previous post Tabika KEMAS Autisme Melaka bermula awal tahun depan
Next post Lebih 500 pemain hangatkan Liga Melaka 2024
Ubah saiz-+=