‘Sanggup datang Melaka tengok Pameran Hang Tuah’
AYER KEROH 28 Jun – “Saya minat tentang sejarah, jadi saya sanggup datang ke Melaka kunjungi Pameran Hang Tuah untuk tahu lebih lanjut tentang pahlawan ini,” kata Mohd Dharfifi Mohamad Dahlan,37.
Mohd Dharfifi berkata, biarpun menetap di Nilai, Negeri Sembilan sebagai anak muda dia amat tertarik untuk pergi ke pameran berkenaan bagi mempelajari sejarah Hikayat Hang Tuah.
“Seawal jam 10 pagi saya sudah sampai di dewan pameran ini, terdapat banyak ilmu baharu diperolehi menerusi bahan dan artifak disediakan.
“Saya ingin tahu tentang salasilah Hang Tuah, bagaimana Kerajaan Negeri Melaka yang suatu ketika dahulu sangat hebat dan saya ingin lihat sendiri barangan sejarah yang ada di sini.
“Pelbagai ilmu yang saya dapat apabila datang ke pameran ini, saya juga amat tertarik dengan khazanah Melayu seperti keris yang dipamerkan di sini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu bagi Nur Zawani Johari,39, dari Subang Jaya, Selangor datang ke Pameran Hang Tuah itu sebagai satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.
“Alhamdulillah saya dapat bawa ibu untuk datang ke pameran ini sekali, saya datang sini kerana ingin tahu sendiri sama ada Hang Tuah ini adalah benar atau mitos sahaja.
“Justeru, pameran seperti ini perlu diadakan lagi kerana ramai yang masih tidak tahu cerita sebenar tentang kewujudan pahlawan ini khususnya murid-murid dan pelajar sekolah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.