“Pengalaman itu tidak akan kami lupakan” – Mangsa banjir

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

LENDU 26 Nov. – “Kami ketakutan kerana air naik amat cepat dan arusnya pula deras, namun bersyukur kerana selamat daripada bahaya.

“Satu jam berada dalam kepungan air yang naik mendadak, terasa amat menggerunkan dan kami tidak mampu berbuat apa-apa selain hanya berdoa agar Allah menyelamatkan kami,” kata Salwani Sukir, 44.

Mangsa banjir itu berkata, dalam keadaan kelam kabut dan amat takut, dia dan tiga anak serta seorang anak saudaranya seolah-olah hilang punca hinggalah anak sulung terfikir untuk menghubungi bomba.

Ibu tiga anak berusia antara 13 hingga 20 tahun itu berkata, hujan lebat mulai jam 6 petang kelmarin menyebabkan kediamannya dinaiki air secara mendadak apabila sungai berhampiran kediamannya melimpah.

Katanya, air mulai mencecah paras satu meter pada jam 7 malam dan menyebabkan mereka sekeluarga dan anak saudara perempuannya berusia 25 tahun yang kebetulan berada di kediamannya terpaksa memindahkan peralatan elektrik ke tempat tinggi

“Kami tidak menyangka langsung air akan naik begitu cepat kerana sebelum ini air hanya naik di halaman rumah tetapi kali ini naik hingga satu meter,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah di sini semalam.

MOHD Afiq mengemaskan tiang anjung rumah yang patah akibat banjir di Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah dekat Alor Gajah. Foto Din Ahmad

Beliau berkata, dalam keadaan ketakutan itu anak sulungnya, Mohd Afiq Ros Azman, 20, terfikir untuk menghubungi bomba pada jam 8.26 malam.

Katanya, anggota bomba yang tiba pada jam 8.29 malam merentangkan tali dari jambatan kira-kira 70 meter dari kediaman mereka untuk diikat pada tiang anjung rumah bagi membantu mereka meredah air sambil berpaut pada tali.

Mohd Afiq berkata, hanya dengan berjalan sambil berpaut pada tali, mereka sekeluarga dengan dibantu anggota bomba berjaya melepasi kawasan dinaiki air setinggi satu meter di halaman rumah hingga kawasan selamat di jambatan.

“Pengalaman itu tidak akan kami lupakan sampai bila-bila dan selepas ini jika air naik lagi, kami akan segera keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Mereka terpaksa menumpang di rumah saudara tidak jauh dari kediaman mereka sebelum kembali ke rumah apabila air surut sepenuhnya pada jam 12 tengah malam tadi sebelum membersihkan kediaman hingga jam 3 pagi.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penolong Penguasa Bomba, Soon We Kiang berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah menerima panggilan pada jam 8.26 malam dan tiba di lokasi kejadian tiga minit kemudian.

“Operasi menyelamat mangsa diketuai Pegawai Bomba Kanan II Azlan Abdul Rahman dengan memindahkan mereka ke rumah saudara dan operasi terkawal pada jam 8.36 malam,” katanya.

Views:

682
Kongsi :
Previous post Pegawai Tourism Malaysia positif COVID-19
Next post Agong perkenan kurnia pingat PGB kepada Baharuddin, Norihan
Ubah saiz-+=