UTeM juara keseluruhan eSport Uni League 2020

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

DURIAN TUNGGAL 26 Nov. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan eSport Uni League 2020 mendahului 67 institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

Terdapat tujuh acara dipertandingkan iaitu Arena of Valor (AOV), Mobile Legend Bang Bang (MLBB), DOTA 2, Player Unknown Battleground (PUBG Mobile), FIFA 2020, PES 2020 dan Honor of King (HOK).

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, semua acara dipertandingkan secara dalam talian bagi mematuhi keperluan prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, pasukan UTeM merangkul juara keseluruhan membawa pulang piala pusingan kejohanan selain tiga kejayaan bagi acara AOV iaitu tempat ketiga acara HOK dan tempat keempat acara PUBG Mobile.

“Selaku juara kategori AOV melayakkan pasukan UTeM membawa pulang wang tunai RM3,000 bersama pingat, kedudukan ketiga membawa pulang wang tunai RM1,000 bersama pingat dan tempat keempat wang tunai RM 500 bersama pingat.

“Kategori AOV dianggotai lima mahasiswa UTeM terdiri Muhammad Ilyas Azahir, Wan Muhammad Firdaus Abdul Latip, Faisal Hakim Mohd Suhaidi, Muhammad Firdaus Azman dan Muhammad Ezzat Ainuddin Mohd Hussin,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Pusat Sukan UTeM, Prof. Madya Dr. Mohd Sanusi Azmi.

Jelas Raha, kejohanan itu menjadi medan bagi mahasiswa memulakan langkah pertama ke dunia e-sukan pada tahap lebih tinggi atau profesional.

“Ini merupakan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan UTeM selaku tuan rumah kali ini,” katanya lagi.

Naib juara keseluruhan Kejohanan eSport Uni League 2020 menjadi milik Universiti Malaysia Pahang (UMP), manakala tempat ketiga Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR).

Kejohanan ini bermula 30 Oktober selama tiga minggu bagi pusingan awal, manakala perlawanan ‘Grand Final’ pada 21 hingga 22 November 2020 lalu.

Views:

694
Kongsi :
Previous post Terharu terima rumah baharu
Next post Jumlah mangsa banjir Melaka menurun
Ubah saiz-+=