Garis panduan baharu, kesan pengayuh beca ‘segera’
KOTA LAKSAMANA 22 Jun – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengeluarkan garis panduan baharu buat pengayuh beca bertujuan melindungi golongan itu daripada pihak tertentu yang dikesan mengambil kesempatan sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, sejak TMM2024 dilancarkan berlaku peningkatan jumlah pengayuh beca sekitar Banda Hilir.
Apa yang tidak enak katanya, berdasarkan tinjauan susulan aduan diterima pihaknya mengesan kehadiran pengayuh beca bawah umur dan pendatang asing menawarkan perkhidmatan itu.
“Ada juga pengayuh beca ‘segera’, mereka ini menawarkan harga tidak sekata, mahal dan melampau. Jadi pelaksanaan garis panduan baharu Oktober nanti akan menjadikan perkhidmatan beca Melaka lebih sistematik.
“Pada masa yang sama melindungi pengayuh beca tempatan daripada golongan yang mengambil kesempatan sepanjang kempen TMM2024. MBMB akan keluarkan notis pemakluman berhubung perkara ini sedikit masa lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Kempen Pengurusan Anjing Terbiar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Taman Warisan Dunia Jonker Walk, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Low Chee Leong.
Menurutnya, garis panduan baharu itu juga antara usaha MBMB mempersiapkan pengayuh beca yang lengkap dengan pengetahuan sejarah Melaka.
“Hampir 300 pengayuh beca berdaftar akan membuat pembaharuan lesen Disember nanti. Jadi MBMB akan melaksanakan garis panduan baharu menerusi beberapa saringan termasuk kesihatan, temu duga dan lain-lain.
“MBMB juga akan menyediakan pakaian seragam buat pengayuh beca yang melepasi saringan, maklumat lengkap pengayuh beca serta memberi taklimat mengenai situasi di Banda Hilir dan yang berkaitan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.