Hubungan simbiotik MPAG, pengamal media diperkukuh

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TELOK MAS 20 Jun – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) terus komited dalam memperkukuh jalinan kerjasama bersama pengamal media di Negeri Melaka.

Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, hubungan simbiotik bersama pengamal media amat penting dalam membantu menyebar luas peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membabitkan aspek pembangunan dan memacu kemajuan sosio ekonomi serta masyarakat di daerah Alor Gajah.

Menurutnya, tiada siapa boleh menafikan peranan wartawan dan media massa dalam memenuhi aspirasi pembangunan dan pemodenan negara, khususnya di Negeri Melaka.

“Dalam konteks MPAG, media bertindak sebagai penghubung yang mendekatkan MPAG dengan masyarakat menerusi liputan dan kupasan yang diterbitkan berkaitan isu pembangunan sosio ekonomi dan kemasyarakatan yang relevan dan konsisten sepanjang tahun.

“Bagai aur dengan tebing. Bagai isi dengan kuku. Begitulah diibaratkan hubungan terjalin di antara MPAG dengan pengamal media yang saling memerlukan dan bergantung di antara satu sama lain.

“Adalah menjadi harapan saya agar hubungan baik yang telah terbina dan terjalin sesama kita ini dapat kekal berpanjangan, dalam kita mengisi peranan masing-masing memenuhi aspirasi Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sembang Santai MPAG Bersama Rakan Media Tahun 2024 di sebuah restoran ikan bakar, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pegawai Daerah Alor Gajah Sabrina Thalas; Pegawai Unit Kerajaan Tempatan Jabatan Ketua Menteri Melaka Mohd Najmi Mohd Zohdi; Ketua Whip Ahli Majlis MPAG Ghafar Ngah dan lain-lain kenamaan.

Pada majlis anjuran Jabatan Korporat dan Khidmat Masyarakat MPAG itu, kira-kira 50 pengamal media dari pelbagai agensi diraikan dengan jamuan makan malam dan penyampaian cenderahati.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

109
Kongsi :
Previous post Jual RON95 kepada kenderaan asing, pengusaha stesen minyak di Masjid Tanah dikenakan tindakan
Next post 50,000 sudah mendaftar aplikasi KITARecycle
Ubah saiz-+=