50,000 sudah mendaftar aplikasi KITARecycle
AYER KEROH 20 Jun – SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) merekodkan sebanyak 50,000 akaun berdaftar dalam aplikasi KITARecycle sejak dilancarkan pada 2018.
Pengurus Besar Korporatnya, Norlisam Mohd Nordin berkata, pihaknya mengenal pasti pendaftaran itu meningkat sekitar 5 hingga 10 peratus dalam capaian bulanan penyertaan keahlian baharu menerusi aplikasi terbabit.
Bagaimanapun kini pihaknya mendapati capaian sohor kini (trending) dalam penggunaan aplikasi terbabit semakin menurun, justeru pelbagai pendekatan berterusan diperlukan bagi memperkasa amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat
“Kita akan memperluaskan pelbagai kempen pengurusan sisa pepejal di punca dan kitar semula dalam kalangan rakyat kerana melihat jumlah mereka yang mendaftar ini mula kurang motivasi dan semakin berkurang.
“Dari semasa ke semasa kita kena ada kempen tertentu dilaksanakan berterusan supaya ada momentum dan sekiranya ia dibiarkan usaha ini akan merudum pada masa akan datang.
“Dalam aplikasi yang dilancarkan sejak September 2018 yang disertai pengguna di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, kita yakin kesedaran masyarakat dalam pengurusan sisa pepejal ini akan diperkasakan dan kita juga sedang merangka strategi untuk perlaksanaan yang berikutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri pelancaran program pertandingan terbabit dirasmikan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM, Hafiz Ridhuan Md. Daud diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.
Tambah Mohd Norlisam, pelbagai program kesedaran akan dilaksanakan yang bukan sahaja membabitkan murid dan pelajar sekolah namun ia juga diperluas ke peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan komuniti masyarakat.
Ujarnya menerusi aplikasi berkenaan, pengguna akan menerima mata ganjaran hasil daripada bahan buangan yang diuruskan.
“Banyak program yang dilaksanakan melibatkan semua peringkat masyarakat seperti ketika cuti peristiwa iaitu musim perayaan, Ramadan, Syawal, Tahun Baharu Cina serta pelbagai lagi untuk memastikan mereka yang berdaftar akan menerima mata ganjaran tambahan dalam amalan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.