Maut langgar motosikal keluar simpang
KESIDANG 19 Jun – Seorang peniaga maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lagi motosikal yang keluar simpang secara tiba-tiba di Jalan Tun Fatimah berhampiran sebuah kedai tayar di Malim, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam, mangsa, Ng Yong Ching, 33, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala seorang lagi penunggang motosikal patah kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 sedang dalam perjalanan dari arah Malim menghala ke Taman Merdeka.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa sedang bergerak lurus di lorong kanan, namun secara tiba-tiba datang sebuah motosikal jenis Benelli yang ditunggang lelaki berusia 59 tahun keluar dari sebelah kiri simpang menyebabkan berlakunya pelanggaran.
“Akibat rempuhan itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi penunggang notosikal patah kaki kanan dan dirawat di zon kuning Hospital Melaka.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan untuk menjalankan bedah siasat,” katanya.
Menurut Christopher, siasatan lanjut masih diteruskan dan pihaknya masih mengesan saksi bebas yang melihat kejadian tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 33 saat yang memaparkan insiden kemalangan itu di media sosial.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.