Wanita teruja kali pertama sertai ibadah korban
TANJUNG BIDARA 18 Jun – “Alhamdulillah ini pengalaman menarik dan pertama kali buat kami kerana kebiasannya kalau ibadah korban sinonim dengan kaum lelaki tetapi kali ini wanita turut diberi peluang bersama-sama dalam program ini.
“Rata-rata wanita yang hadir teruja sebab dapat menolong bersama-sama melapah daging korban untuk diagihkan kepada golongan memerlukan, “ kata Nurul ‘Amirah Mohd Yusof, 32.
Nurul Amirah merupakan antara 500 peserta Program Ibadah Korban Berkelompok Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Melaka di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Menurutnya, program tersebut bukan sahaja dapat menyatukan masyarakat, bahkan menjadi medan permuafakatan tanpa mengira jantina, usia dan pangkat.
“Program ini begitu bermanfaat kerana sebelum ini rata-rata golongan wanita duduk di rumah menantikan agihan korban, tetapi kali ini kita diberi pendedahan dengan diberi peluang terlibat bersama melapah daging.
“Saya mewakili wanita dan kaum ibu yang hadir mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana melibatkan segenap lapisan masyarakat dalam program sebegini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Nurul Amirah yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah berharap kerjasama erat segenap lapisan masyarakat pada program berkenaan dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.