Sorting by

×

YADIM tidak kompromi isu bertentangan syarak

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PENGKALAN BATU 25 Nov. – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) tetap dengan pendirian ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’ iaitu menjauhi kemungkaran dan mendekatkan kebenaran berhubung isu pengharaman arak dijual di kedai serbaneka dan runcit.

Yang Dipertuanya Nasrudin Hassan berkata, yayasan dakwah itu tidak akan berkompromi dengan isu yang bertentangan syarak khususnya dalam perkara terlarang terutama membabitkan isu penjualan arak, judi dan zina.

“Langkah itu bukan sahaja tuntutan agama, malah keputusan yang diambil adalah tepat memandangkan banyak laporan mengenai individu yang mabuk hingga berisiko berlaku kemalangan meragut nyawa.

“Semua individu sama ada Islam mahupun bukan Islam perlu menghormati antara satu sama lain dan tidak menjadikan pengharaman arak sebagai isu politik ataupun punca pencetus pergolakan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Musaadah YADIM Negeri Melaka, di Kompleks Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Bukit Baru, di sini, hari ini

Hadir sama Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Halim Tawil dan Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Kamaruddin Sedik.

Baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan garis panduan Lesen Minuman Keras (LMK) yang menetapkan ‘hard liqour’ (minuman keras yang memabukkan) tidak dibenarkan di jual kedai runcit, serbaneka dan kedai menjual ubat tradisional Cina sekitar Kuala Lumpur bermula 1 Oktober 2021

Pada masa sama, kerajaan tidak menolak kemungkinan lebih banyak negeri yang mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan untuk tidak membenarkan penjualan arak di kedai runcit dan serbaneka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, selain daripada tuntutan agama, ia adalah suara masyarakat, termasuk bukan beragama Islam.

Mengulas lanjut mengenai program yang diadakan di Balai Islam itu, Nasrudin berkata, Yadim bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi di bawahnya komited menghulurkan bantuan berhubung bencana yang melanda.

Katanya, perkara itu bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang terjejas bagi meringankan bebanan yang ditanggung masyarakat terjejas.

“Setakat ini YADIM juga telah memperuntukkan hampir RM1.5 juta untuk membantu masyarakat terutama golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan banjir.

“Sasaran YADIM terbuka semua keadaan bencana dan setiap kawasan atau daerah kita akan menyampaikan kit makanan yang dianggarkan RM200 bagi setiap penerima,” katanya.

Views:

500
Kongsi :
Previous post JASA dijenamakan semula sebagai J-KOM
Next post Busuk, berkeladak dan meloyakan!
Ubah saiz-+=