Ibadah korban Hutan Percha meriah

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MACHAP JAYA 17 Jun – Sambutan ibadah korban di Felda Hutan Percha, di sini, berlangsung meriah apabila turut disertai masyarakat bukan Islam yang terdiri daripada penduduk felda.

Suasana itu dapat dilihat apabila masyarakat bukan Islam khususnya kaum Cina turut hadir untuk melihat acara korban yang dijalankan.

Ketua Peneroka Felda Tun Ghafar Hutan Percha, Mohd Yusoff Jambak berkata, sudah menjadi kelaziman penduduk mengadakan korban berkelompok sempena Hari Raya Aidiladha.

“Komuniti kita di sini, setiap kali adanya program tidak kira apa juga sambutan mereka akan terlibat sama bagi menjayakannya.

“Seperti korban berkelompok kali ini, masyarakat Cina mereka bukan sahaja datang meraikan tetapi ada juga yang turut menyumbang tenaga.

“Untuk mengangkat barang dan perkakas tiada masalah bagi kita kerana di sini kami harmoni selain walaupun berbeza kaum tiada persengketaan, sememangnya hubungan kami baik antara warga felda,” katanya.

Mohd Yusoff berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Korban Hari Raya Aidiladha Felda Hutan Percha yang turut dihadiri Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Mohd Banuri Aris.

Whatsapp Image 2024 06 17 At 1.56.02 Pm
MOHD Yusoff (dua kiri) melihat Datuk Mohd Banuri melapah lembu korban

Menurut Mohd Yusoff yang juga generasi kedua felda berkata, kemeriahan sambutan dapat dilihat apabila kesemua generasi felda tidak kira peringkat umur sama-sama berkumpul menjayakan ibadah korban.

“Kita di sini tiada beza, generasi kedua atau ketiga sama sahaja sebab itu dapat lihat semua ada tugas masing-masing, ada yang melapah, ada yang tolong rebahkan lembu dan timbang daging.

“Dalam merealisasikan acara ini kerjasama antara penduduk tidak kira generasi tua dan muda semua harus bersepakat serta bekerjasama,” katanya.

Jelasnya, apa yang menarik penganjuran program korban berkelompok diadakan setiap tahun secara tidak langsung bukan sahaja dapat memupuk semangat muhibbah tetapi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara warga felda.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

311
Kongsi :
Previous post ‘Ab Rauf mudah mesra dengan orang kampung’
Next post PM sumbang 35 lembu buat warga Felda
Ubah saiz-+=