Buka minda, tambah pengetahuan mengenai Hang Tuah
AYER KEROH 16 Jun – Pameran Hang Tuah sedang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) membuka minta dan meningkatkan lagi pengetahuan orang ramai mengenai kisah laksamana Melaka itu yang sebelum ini kurang dibualkan.
Nor Azian Mohideen Abdul Kadir, 45, berkata, dengan mengunjungi pameran itu dia mendapat banyak maklumat baharu sesuai untuk dikongsikan bersama kenalan dan anak-anaknya sendiri.
Katanya, keputusan dia dan suami membawa anak-anak mereka ke pameran itu sebagai satu keputusan yang tepat dan amat berbaloi.
Selain memberi pendedahan tentang Laksamana Hang Tuah kepada anak-anaknya, Nor Azian berkata, pameran itu memberikan gambaran kepada dirinya mengenai keagungan empayar Melaka.
“Saya sampai sini jam 2 petang, memang bawa anak-anak untuk beri mereka pendedahan tentang siapa Hang Tuah. Anak-anak teruja kerana dapat tahu Hang Tuah ini pandai bertutur 12 bahasa dan pernah mengunjungi negara luar seperti Jepun.
“Memang bagus pameran begini sebab kita pergi muzium masa kecil sahaja, jadi bila ada pameran ini, ia lebih dekat dengan kita,” katanya.
Sementara itu, Noraziah Mohd Osman, 30, turut mengambil peluang membawa anak-anak saudaranya singgah ke Pameran Hang Tuah.
“Selain membawa anak buah saya menyertai persembahan silat, kami singgah ke pameran ini untuk pelajari tentang pahlawan Hang Tuah.
“Bagus pameran ini untuk anak-anak muda mengenali siapa pahlawan Melaka dan sejarah terdahulu,” katanya.
Kenali 3 – PENGUNJUNG melawat Pameran Hang Tuah di MITC.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.