Seni silat, keris jadi produk pelancongan Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 15 Jun – Kerajaan Negeri akan mengangkat seni silat dan keris sebagai produk pelancongan Melaka, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf berkata, inisiatif itu sekali gus mengangkat sejarah Hang Tuah yang bukan hanya dilihat pada semangat keperwiraan, tetapi dari sudut yang lebih luas.

“Di Melaka kita mempunyai 90 gelanggang melibatkan sebanyak 40 persatuan silat dan hampir 1,000 peserta silat yang bergerak aktif.

“Tahniah saya ucapkan kepada guru-guru silat kerana berusaha memastikan dunia persilatan terus subur dalam darah anak bangsa kita. Tahniah kepada ibu bapa yang menyokong untuk memberi pendedahan seni silat ini kepada anak-anak mereka sejak usia muda.

“Kerajaan Negeri menyambut baik usaha penganjuran festival seumpama ini kerana ia dapat menyemarak semangat seni mempertahankan diri dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Silat dan Keris Warisan Nusantara sempena Pameran Hang Tuah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas-tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Saleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata festival itu diadakan selama tiga hari bermula 14 Jun.

“Pelbagai aktiviti menarik diatur antaranya demonstrasi silat, pameran keris, pertandingan keris dan banyak lagi.

“Sebanyak sembilan jenis keris akan dipamerkan antaranya Keris Bugis, Keris Semenanjung, Keris Malela, Keris Palembang dan senjata-senjata Melayu antik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

316
Kongsi :
Previous post 20,000 ‘bikers’ dari 100 kelab gamatkan MITC
Next post Pameran Kenderaan Automotif Klasik Diraja Johor dapat sambutan luar biasa
Ubah saiz-+=