Melaka capai sasaran 5.7 juta pelancong separuh pertama 2024
AYER KEROH 15 Jun – Melaka merekodkan seramai 5.7 juta pelancong setakat separuh pertama tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ab Rauf memaklumkan, jumlah itu sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan untuk enam bulan pertama Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan dukungan dalam kempen TMM2024 sehingga kini mencapai sasaran bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Semestinya tiada negeri lain yang menyediakan pelbagai tarikan untuk pengunjung dan pelancong sehingga 5.7 juta menjadikan Melaka sebagai destinasi percutian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang mewakili Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Hang Tuah, Pameran Kenderaan Automotif Klasik Diraja Johor dan Malaysia Bike Week Melaka 2024, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dan hadir ke tiga acara besar yang diadakan di MITC iaitu Pameran Hang Tuah, Pameran Kenderaan Automotif Klasik Diraja Johor dan Malaysia Bike Week Melaka 2024.
Katanya, sambutan luar biasa itu membawa mesej positif kepada sektor pelancongan negeri menerusi penganjuran TMM2024.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.