Tiga acara besar di MITC rancakkan TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 15 Jun – Tiga acara besar yang berlangsung serentak di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, menambahkan lagi kemeriahan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Tiga acara tersebut adalah Pameran Hang Tuah, Pameran Kenderaan Automotif Klasik Diraja Johor dan Malaysia Bike Week Melaka 2024.

Perasmian kesemua acara tersebut telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang mewakili Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Majlis turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Majlis itu dimulakan dengan Tun Dr. Mohd Ali, Ab Rauf serta kenamaan melawat ke tapak Pameran Kenderaan Automotif Klasik Diraja Johor yang mempamerkan sebanyak 37 aset klasik seperti Mack Truck Scorpion, Morgan 3 Wheeler dan HD Street Glide Tiger.

Kenamaan seterusnya melawat ke Pameran Hang Tuah di Hall A MITC yang bakal berlangsung selama hampir sebulan iaitu bermula 10 Jun hingga 7 Julai depan.

Pameran Hang Tuah ini menghimpunkan pelbagai dokumen, manuskrip, artifak dan sumber-sumber baharu dalam usaha memperkukuh kewujudan legenda pahlawan Melaka itu.

Lawatan diakhiri ke tapak Malaysia Bike Week Melaka 2024 yang menghimpunkan ribuan peminat sukan permotoran dari dalam dan luar negara di Dataran MCORP.

Malam ini pula bakal diadakan Majlis Santapan Malam dan Persembahan Muzikal Gita Citra di Encore Impression City Melaka, Klebang bersempena tiga acara utama yang dianjurkan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

261
Kongsi :
Previous post Erat hubungan antara ‘bikers’
Next post 37 koleksi kenderaan klasik Diraja Johor jadi tarikan di MITC
Ubah saiz-+=