Kurniaan Bakul Makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor

Masa Membaca:2 Minit, 41 Saat

TANJUNG BIDARA 14 Jun – Selain berpeluang berjumpa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, asnaf dari lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah turut menerima Kurniaan Bakul Makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor.

Kurniaan barangan makanan itu diserahkan kepada 500 asnaf dari DUN Tanjung Bidara, Lendu, Ayer Limau, Taboh Naning dan Kuala Linggi bersempena Majlis Pemasyhuran Masjid Sultan Ibrahim, Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini, hari ini.

Penerima, Ali Mohamed, 58, dari Jalan Sekolah Lama, Masjid Tanah, berkata, rezeki pagi Jumaat itu dianggap amat berharga kerana dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Saya menghidap masalah saraf, pergerakan isteri pula terbatas akibat angin ahmar jadi kami berdua tidak dapat bekerja. Kurniaan seperti ini amat membantu dalam meringankan beban kami anak-beranak.

“Alhamdulillah sempena hari Jumaat yang penuh keberkatan ini kami diberi rezeki, terima kasih kepada Seri Paduka Baginda,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Abdullah Harun, 67, dari Kampung Ramuan China Besar turut meluahkan rasa syukur, gembira dan teruja selepas dipilih menjadi penerima kurniaan itu.

“Mungkin ini pengalaman yang datang sekali sahaja dalam seumur hidup, rasa bertuah dapat berjumpa Ketua Negara.  Terima kasih saya ucapkan kepada Seri Paduka Baginda kerana kerana berkenan mencemar duli dan kami mengucapkan selamat datang ke Melaka Negeri Bersejarah,” katanya.

Manakala Kasni Salikin, 62, berkata dia tidak menyangka dijemput untuk menerima kurniaan dan diraikan dalam program dianggap bersejarah bagi seluruh rakyat Negeri Melaka.

“Memang tidak sangka sebab saya dipanggil pada saat-saat akhir untuk menerima kurniaan dan menjadi antara saksi detik bersejarah ini.

“Ini juga pengalaman pertama saya menyaksikan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke Melaka, membuatkan saya amat terharu sebagai rakyat jelata,” katanya.

Terdahulu, Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda sempena Majlis Pemasyhuran Masjid Sultan Ibrahim pada jam 1.03 tengah hari tadi telah disambut Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Turut bersama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Sultan Ibrahim, memakai sepersalinan lengkap baju melayu Johor berwarna kuning lembut berkenan menandatangani plak sebagai simbolik pemasyhuran masjid tersebut.

Majlis diteruskan dengan penyerahan replika Kurniaan Bakul Makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor kepada Ketua Menteri dan disusuli sembah maklum menghadap Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Jemputan, penduduk sekitar dan asnaf yang diraikan kemudian mendirikan solat Jumaat bersama Seri Paduka Baginda yang diimamkan Abdul Halim dan bilal Muhammad Al Abror Mohamed Amir.

Masjid Sultan Ibrahim yang dahulunya dikenali sebagai Masjid Nur Jannatul Bahri, Kampung Ayer Hitam Pantai itu menempa sejarah sebagai masjid pertama dimasyhurkan dengan nama Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Masjid yang terletak di Tanjung Bidara yang juga antara lokasi pelancongan Negeri Melaka siap dibina pada tahun 2021 dan mampu memuatkan seramai 1,000 jemaah dalam satu-satu masa.

Ia dibina di atas tanah seluas 0.8 hektar yang diwakafkan oleh keluarga Allahyarham Bahri dengan kos pembinaan kira-kira RM4.5 juta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

133
Kongsi :
Previous post Polis akan minta MCMC turunkan kandungan tangkap layar siasatan kes Zayn Rayyan
Next post Agong hadir Majlis Jamuan Teh bersama rakyat Melaka
Ubah saiz-+=