Polis akan minta MCMC turunkan kandungan tangkap layar siasatan kes Zayn Rayyan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis juga akan menyiasat pihak yang bertanggungjawab menyebarkan tangkap layar berkenaan.
“Polis sedang meneliti isi kandungan tangkap layar berkenaan. Tindakan ini amat tidak bertanggungjawab kerana ia boleh menggangu perjalanan perbicaraan kes (Zayn Rayyan) yang akhirnya nanti keadilan mungkin tidak dapat diberikan kepada adik Zayn Rayyan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.
Turut hadir timbalan beliau DCP Fadil Marsus.
Mohd Shuhaily berkata segala maklumat berkaitan kes Zayn Rayyan hanya boleh dikeluarkan oleh pihak rasmi sahaja dan masyarakat dinasihatkan tidak mempercayai atau berkongsi maklumat yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Tindakan ini tidak membantu mana-mana pihak sama ada di pihak pendakwaan, polis mahupun keluarga mangsa.
“Tindakan berkenaan juga boleh menggugat segala kerja keras pasukan penyiasat yang telah bertungkus lumus menyiasat kes ini,” katanya.
Mengulas mengenai adik kepada Zayn Rayyan yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Shuhaily berpendapat ia merupakan tanggungjawab moral dan undang-undangpihak berkenaan untuk berbuat demikian.
“Ia mungkin susulan JKM melihat adalah perlu bagi pihaknya mengambil anak kedua pasangan berkenaan susulan mereka telah dituduh mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Mengenai kenyataan Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili bapa kanak-kanak itu bahawa siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan diteruskan sehinga pelaku sebenar ditemukan, Mohd Shuhaily sekali lagi menegaskan bahawa siasatan membabitkan kes Zayn Rayyan mengikut seksyen berkenaan telah selesai.
“Siasatan di pihak kami (polis) telah selesai bagaimanapun siasatan boleh dibuka kembali sekiranya timbul bukti baharu semasa perbicaraan nanti dan terdapat arahan daripada pihak pendakwaan,” katanya.
Fahmi dalam sidang medianya semalam dilapor berkata polis masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tidak akan berhenti untuk mencari siapa pelaku sebenar.
Semalam, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang juga ibu bapa Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.