Sorting by

×

Kenduri durian, tarikan Melaka Agrofest 2024

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 13 Jun – Melaka Agrofest 2024 atau Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan negeri akan diadakan di Dataran Sejarah dari 21 hingga 23 Jun ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata bertemakan ‘Keterjaminan Makanan Tunjang Kemakmuran Negeri’, sambutan itu menyasarkan seramai 30,000 orang pengunjung.

Katanya, pelbagai aktiviti, pertandingan dan jualan hampir 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran bagi pelbagai hasil ditawarkan pada program tiga hari itu.

“Kerajaan Negeri menyasarkan kutipan jualan Melaka Agrofest 2024 sehingga RM1 juta. Antara tarikan adalah aktiviti ‘kendurian’ atau makan durian percuma, jualan durian dengan pengurangan 30 peratus berbanding harga pasaran serta agihan 1,000 nanas percuma.

“Turut diadakan pertandingan teka berat lembu sado; jualan dan promosi Agro Madani; jualan karavan tani; nurseri pertanian, pameran serta pelbagai lagi,” katanya pada sidang media Melaka Agrofest 2024 di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan negeri, Low Chee Leong.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata Majlis Perasmian Melaka Agrofest 2024 akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada 22 Jun.

Menurutnya, antara kelainan Melaka Agrofest tahun ini adalah penganjuran konsert pada malam kemuncak ditukar kepada program Melaka Berselawat.

“Pada acara kemuncak kita akan buat cabutan bertuah menawarkan pakej umrah dan pelbagai hadiah menarik menanti pengunjung.

“Penganjuran Melaka Agrofest 2024 ini kita harap dapat membantu merancakkan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6536
Kongsi :
Previous post MAIM bantu mangsa kemalangan, hilang upaya
Next post Faisal Halim sanggup hilang gaji berpuluh ribu, asalkan diri dan keluarga selamat
Ubah saiz-+=