Faisal Halim sanggup hilang gaji berpuluh ribu, asalkan diri dan keluarga selamat
SHAH ALAM, 13 Jun – Tonggak utama Selangor FC (SFC) Harimau Malaya Faisal Halim pernah terlintas untuk mengakhiri karier dalam arena bola sepak dan melepaskan gaji berpuluh ribu ringgit, selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya bulan lepas.
Ini kerana pemain berusia 26 tahun kelahiran Pulau Pinang itu berpendapat keselamatan keluarganya lebih penting selain tidak perlu lagi hidup dalam ketakutan kerana kejadian luar jangkaan itu.
“(Pada minggu kedua ketika kejadian berkenaan) saya cakap kepada Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar, saya sanggup hilang gaji berpuluh ribu untuk berhenti bermain bola asalkan keluarga saya selamat. Saya boleh balik kampung hidup tenang (dan) boleh bekerja (di kampung) walaupun sehari (hanya terima gaji) RM 50 ringgit atau RM100,” katanya selepas membuat penampilan pertama di khalayak umum di Pusat Latihan Selangor FC di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun kembali bersemangat untuk terus bermain bola sepak apabila Shahril berjanji untuk menjaga keselamatannya dan keluarga serta meyakinnya bahawa beliau mampu meneruskan kariernya itu.
Susulan kejadian pada 5 Mei lepas itu, Faisal Halim atau turut dikenali sebagai Mickey mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa anggota badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.
Sementara itu, Faisal Halim mengakui sekarang ialah masa untuknya memberikan fokus kepada proses pemulihan sebelum memikirkan tentang kembali ‘bersinar’ dalam lapangan bola sepak.
Beliau turut bersyukur pemulihannya berjalan lancar dan yakin perkara itu hasil sokongan dan semangat daripada orang ramai yang mendoakannya.
“Saya harap dalam masa satu bulan atau satu bulan lebih saya nak kembali ke padang. Sejujurnya saya amat rindukan bola sepak dan bukan mudah untuk duduk sahaja di rumah. Kaki memang menggigil (untuk bermain) tetapi sekarang adalah masa untuk fokus ‘rehab’ (pemulihan).
“Masih ada beberapa proses yang perlu dijalani kerana saya pun sudah lama tak bermain mungkin perlu kuatkan otot-otot dan pergerakan dahulu,” katanya.
Faisal Halim juga berkata beliau tidak ingin mengingati kejadian berkenaan dan mahu terus bergerak ke hadapan dengan semua bantuan yang diberikan kepada dirinya.
Menurutnya selepas ditimpa kejadian malang itu, beliau merasakan kehidupannya berbeza apabila tidak boleh melakukan banyak perkara sendiri sehingga memerlukan bantuan daripada keluarga terutamanya isteri untuk makan mahupun ke tandas.
“Saya harap pelaku dapat ditangkap secepat mungkin dan didakwa di mahkamah,“ katanya.
Pada 25 Mei lepas, SFC menerusi kenyataan mengesahkan pemain sayapnya itu dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di sini selepas menjalani empat pembedahan susulan insiden tersebut.
Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari itu, sebelum ini dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.