Inovasi buih si cilik tingkat kesedaran autisme

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

REMBIA 14 Jun – Inovasi dipersembahkan empat rakan sekelas berjaya merangkul Anugerah Khas Ketua Menteri Melaka bagi Kategori Sekolah pada penganjuran Melaka International Intellectual Exposition 2024 (MIIEX24).

Pengiktirafan terhadap inovasi alat menghasilkan buih dinamakan ‘Sensory Splash’ menerusi anugerah khas itu diberikan kepada murid Sekolah Rendah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Faizin.

Lebih menarik alat dihasilkan daripada barangan terpakai itu memberikan manfaat yang amat besar khusus kepada kanak-kanak austisme selepas ini.

Ibu kepada salah seorang murid berkenaan Siti Norashikin Bashirun, 40, berkata, alat berkenaan juga boleh menghasilkan pelbagai warna, sekali gus membantu meningkatkan rangsangan deria kanak-kanak autisme.

“Saya bersama tiga lagi penjaga murid berbincang mengenai inovasi untuk diketengahkan pada MIIEX24, alhamdulillah dalam masa sehari sahaja kami mendapat ilham dan menghasilkan Sensory Splash ini.

“Pada asasnya inovasi ini dihasilkan daripada botol minuman, stoking dan sabun pencuci pinggan serta pewarna makanan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup MIIEX24 di Dewan Taming Sari , UiTM Alor Gajah, di sini, pada Rabu.

Atas pencapaian diraih kumpulan berkenaan membawa pulang sijil, torfi dan wang tunai RM1,000 yang disampaikan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin.

Hadir sama, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Melaka, Prof Madya Dr. Nur Hayati Abd Rahman; Presiden International Association of Economic and Business (IAEB) UiTM, Prof. Ts. Shafinar Ismail; Setiausaha IAEB UiTM, Hendra Harmain dan Pengarah Projek MIIEX24, Dr. Zulkefli Muhammad Hanapiyah.

Siti Norashikin berkata, matlamat utama penyertaan pada MIIEX24 adalah untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai kanak-kanak autisme khusus dalam kalangan ibu bapa.

MIIEX24 dianjurkan UiTM Melaka memasuki edisi ke-13 bertemakan ‘Empowering Special Need Through Innovation’ bertujuan membudayakan inovasi produk orang kurang upaya (OKU).

Bagi MIIEX24 sebanyak 567 penyertaan diterima, ia membabitkan pemain industri, profesional, institusi pengajian tinggi (IPT), wakil sekolah tempatan dan antarabangsa.

Wakil UiTM Cawangan Johor bagi Kategori Profesional dan penuntut UiTM Melaka Nur Fatnin Ishamina Hasan, menerusi Kategori Pelajar turut menerima Anugerah Khas Ketua Menteri Melaka.

Panganjuran itu turut meraikan pelbagai anugerah lain iaitu Best Innovation-Tuah Award; Best Invention-Jebat Award; Best Design-Kasturi Award dan Best Idea Development-Kasturi Award dengan nilai keseluruhan sebanyak RM10,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

151
Kongsi :
Previous post Lelaki ditahan disyaki pecah rumah, mahu penuhi keinginan isteri bercuti
Next post Anggota polis ditemukan mati di tandas hentian R&R
Ubah saiz-+=