UiTM Melaka usul resolusi ganti istilah ‘OKU’
REMBIA 12 Jun – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka bercadang mengusulkan satu resolusi bagi menilai semula penggunaan istilah orang kurang upaya (OKU).
Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Melaka, Prof Madya Dr. Nur Hayati Abd Rahman berkata, usul tersebut diangkat agar penggunaan istilah itu dinilai semula untuk memartabat peranan golongan berkenaan.
Jelasnya, menerusi sebuah konvensyen yang diadakan pada penganjuran International Intelectual Exposition 2024 (MIIEX24), semua pihak terlibat bersetuju dengan usul tersebut supaya OKU khususnya dalam kalangan mahasiswa mampu kehadapan setara seperti individu lain.
“Hasil dapatan ini, hampir 20 universiti, industri luar dan dalam negara berpendapat supaya satu resolusi dapat dilaksanakan di mana pada asalnya menyentuh apa di sebalik maksud OKU yang diguna pakai hari ini.
“Ramai berpendapat OKU yang diringkaskan kepada orang kurang upaya seeloknya tidak boleh ditafsirkan kepada ‘kekurangan’ kerana ada berpendapat perkataan ‘kurang’ itu adalah negatif.
“Seperti perkataan ‘disabilities’, ia perlu ditukar kepada ‘abilities’ malah ada mencadangkan OKU ditukar kepada penggunaan ‘anak istimewa’ atau ‘anak luar biasa’.
“Malah, ada yang menyentuh istilah itu seperti di Indonesia yang menggunakan istilah ‘anak luar biasa’ sehinggakan di negara itu turut mempunyai sekolah anak luar biasa yang menempatkan golongan OKU untuk dimartabatkan dalam aspek akademik dan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri MIIEX24 yang dirasmikan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin di Dewan Taming Sari, UiTM Alor Gajah, di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden International Association of Economic and Business (IAEB) UiTM, Prof. Ts. Shafinar Ismail; Setiausaha IAEB UiTM, Hendra Harmain; Pengarah Projek MIIEX24, Dr. Zulkefli Muhammad Hanapiyah serta tetamu lain.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai hasrat lain membabitkan OKU turut diusulkan dalam resolusi terbabit, di mana ia memerlukan sokongan Kerajaan Negeri dan semua pihak berkaitan untuk mengangkat perkara itu ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kita akan membawa perkara ini ke peringkat Exco Kerajaan Negeri untuk dibincangkan secara dasar agar ia dibawa ke peringkat atasan supaya kita dapat memperkasakan peranan OKU yang bukan sahaja menuntut di sekolah malah di IPT supaya dapat mendorong kebolehpasaran mereka apabila menamatkan pengajian di peringkat universiti mahupun sekolah.
“Banyak resolusi lain akan diusulkan nanti dan UiTM akan melakukan sebaik mungkin untuk memainkan peranan agar universiti ini membantu masyarakat sekali gus mencapai hasrat memasyarakatkan universiti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.