Sorting by

×

Penduduk terharu masjid kampung dimasyhur nama Agong

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

TANJUNG BIDARA 12 Jun – Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara meluahkan rasa bangga dan terharu apabila masjid di kawasan luar bandar itu dipilih sebagai masjid pertama dimasyhur dengan nama Yang di-Pertuan Agong.

Ia selepas Masjid Nur Jannatul Bahri Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini, bakal dimasyhurkan sebagai Masjid Sultan Ibrahim pada tanggal 14 Jun 2024.

Lebih membanggakan pemasyhuran itu bakal disempurnakan sendiri Seri Paduka Baginda yang berkenan berangkat mencemar duli ke majlis berkenaan.

Photo1718174584
SHAMSUL BAHRAIN

Pengerusi Masjid Sultan Ibrahim, Shamsul Bahrain Haron, 63, berkata, ia disifatkan sebagai detik paling bermakna buat penduduk kampung memandangkan ia menjadi masjid pertama negara yang dimasyhur dengan nama Yang di-Pertuan Agong ke-17.

“Pemasyhuran ini akan memartabatkan lagi institusi masjid ini dan sebagai wakil kariah kami bertekad untuk menjadikan masjid ini sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu, amal dan akhlak yang menekankan aspek kebersihan, keceriaan, selamat serta kondusif.

“Mewakili kariah dan ahli syarak kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang berusaha mengangkat martabat masjid dan kampung ini ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Photo1718174667
ZAMRI

Setiausaha Masjid Sultan Ibrahim, Zamri Mohamad dalam nada sebak turut meluahkan rasa terharu apabila mengenangkan masjid berkenaan bakal mencipta sejarah baharu buat negara dan Negeri Melaka.

“Sebagai ahli kariah kita tidak menjangkakan berita gembira ini, saya sebak dan terharu apabila mendengar berita ini, begitu juga penduduk kampung yang bersemangat menantikan ketibaan Yang di-Pertuan Agong.

“Rasa bangga yang teramat sangat memandangkan ini merupakan lawatan rasmi pertama Seri Paduka Baginda ke Negeri Melaka dan sudi mencemar duli ke kampung kami,” katanya.

Photo1718174486
MOHAMED ISA

Sidang Kampung Ayer Hitam Pantai, Mohamed Isa Khamis, 65 pula bersemangat menantikan detik bersejarah itu selepas mendengar khabar berita gembira mengenai pemasyhuran masjid berkenaan beberapa minggu lalu.

“Selaku anak kariah saya berbangga dengan perkara ini kerana ia bukan sahaja melakar sejarah untuk DUN Tanjung Bidara bahkan mencipta detik bermakna dalam negara kerana ini adalah masjid pertama yang dinamakan sempena nama Agong.

“Kami sebagai penduduk kampung tidak sabar menantikan peristiwa yang bakal berlaku pada Jumaat ini dan ini merupakan pengalaman manis sepanjang hidup saya,” katanya.

Photo1718174758
FADZIL

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Hitam Pantai, Fadzil Abdul Rahim pula memaklumkan, persiapan rapi telah dijalankan sejak seminggu lalu bagi menyambut keberangkatan tiba Sultan Ibrahim di masjid berkenaan.

“Setakat ini pelbagai persiapan telah dilakukan termasuk menyiapkan sebuah arca Tanjung Bidara yang terletak di tepi masjid berdekatan persimpangan Tanjung Bidara.

“Rata-rata penduduk kampung meluahkan rasa teruja dan bangga dengan detik bersejarah ini, kami semua tidak menduga dan ini semua limpahan rahmat yang dikurniakan Allah SWT,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

425
Kongsi :
Previous post Pesisiran Sungai Melaka Fasa 2 berwajah baharu
Next post Melaka teliti bantuan untuk penternak kupang terjejas
Ubah saiz-+=