Upah nikah RM100
AYER KEROH 25 Nov. – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyelaraskan kadar bayaran upah nikah bagi juru nikah sebanyak RM100 di negeri ini berkuat kuasa Januari depan.
Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat berkata, keputusan kadar bayaran upah itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pada 27 Julai lalu.
Beliau berkata, selain bayaran upah nikah, kadar bayaran bagi saksi juga ditetapkan RM25 seorang bagi saksi akad nikah daripada kalangan Pegawai Syarak atau individu yang layak.
“Oleh itu imam, juru nikah, penolong pendaftar atau yang mengendalikan majlis pernikahan tidak dibenarkan mengambil sebarang bayaran selain kadar yang ditetapkan oleh MAIM.
“Ini bermaksud tiada sebarang bayaran boleh dikenakan kepada anak kariah yang hadir untuk mendapatkan pengesahan Borang Permohonan Kebenaran Berkahwin atau dokumen lampiran lain yang berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, jika pernikahan berlaku di masjid atau surau bawah pengawalan JAIM, pihak masjid boleh menasihatkan penganjur pernikahan untuk memberikan sumbangan tidak melebihi RM50 dan hendaklah mengeluarkan resit untuk mengelakkan sebarang salah faham.
“Selain itu jika pihak perempuan ingin bernikah di luar kariah pemastautinannya atas sebab yang munasabah dengan kebenaran Ketua Pendaftar Nikah Cerai Rujuk/ Pendaftar Kanan Nikah Cerai Rujuk maka imam boleh mengenakan bayaran tidak melebihi RM50 ke atas anak kariahnya.
“Kegagalan untuk memenuhi arahan ini adalah kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah peruntukan Seksyen 65 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991,” katanya.