Apa ada di ‘Istana’ Merlimau?
Oleh: Muhammad Rasul Azli Samad
MERLIMAU 11 Jun – Rumah Demang Abdul Ghani di Pekan Merlimau merupakan antara lokasi tumpuan yang wajib dikunjungi sekiranya anda meminati dan menghargai keunikan seni bina rumah tradisional.
Rumah pusaka berusia hampir dua abad itu merupakan antara kawasan tarikan pelancong yang terdapat dalam daerah Jasin dan terletak kira-kira 22 kilometer dari Bandar Melaka.
Ia turut digelar sebagai ‘Istana Merlimau’ yang mana seni binanya dikatakan mengekalkan identiti rumah Melayu Melaka.
Rumah berkenaan didirikan tanpa menggunakan paku serta mempunyai enam ruang utama iaitu anjung, serambi, rumah ibu, bilik tidur, rumah tengah dan dapur serta sebuah loteng yang dikhaskan untuk kegunaan kaum wanita.
Menurut catatan sejarah, rumah berkenaan dibina oleh Demang Abdul Ghani bin Penghulu Abdul Majid, seorang hartawan yang berasal dari Palembang pada tahun 1831.
Penghulu atau demang merupakan ‘raja kecil’ dan amat dihormati oleh masyarakat pada ketika itu.
Dikatakan, rumah berkenaan sering dijadikan sebagai pusat pentadbiran kampung iaitu lokasi perjumpaan bagi membincangkan hal ehwal masyarakat.
Tiga generasi penghulu pernah mendiami rumah berkenaan iaitu Penghulu Abdul Majid (1831 – 1834), Demang Abdul Ghani bin Abdul Majid (1834 – 1934) dan Penghulu Mat Natar bin Abdul Ghani (1934 – 1978).
Bagi memelihara warisan khazanah negara, Kerajaan Negeri Melaka melalui Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) mengambil alih rumah ini dan dijadikan Galeri Demang Abdul Ghani pada tahun 2011.
Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), galeri atau rumah tradisional ini perlu menjadi lokasi yang wajib dikunjungi pelancong, khususnya mereka yang meminati sejarah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.