Sorting by

×

Keperibadian Hamzah, peninggalan berharga untuk keluarga

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

TANJUNG BIDARA 10 Jun – Meskipun jasadnya sudah tiada, namun suri teladan, ketaatan kepada suruhan Allah SWT dan ilmu yang dikongsi dianggap sebagai satu peninggalan amat berharga untuk dicontohi selain diamalkan ahli keluarga serta kenalan Allahyarham Hamzah Ahmad, 60.

Allahyarham adalah seorang dari empat mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan bas persiaran dan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, Rompin, Pahang, awal pagi semalam.

Adik ipar arwah, Ramlan Khamis, 51, berkata, tidak keterlaluan jika mahu mengatakan arwah adalah seorang ahli zikir, kerana itu adalah amalan wajib Hamzah setiap hari ketika hayatnya.

Ramlan berkata, arwah adalah seorang yang periang dan gemar membantu insan lain termasuk dirinya sendiri yang mengalami masalah kesihatan.

“Hospital umpama rumah kedua saya, arwah adalah antara yang kerap datang melawat, dia banyak berkongsi doa, zikir dan amalan untuk membantu menyembuhkan penyakit. Perkongsian ilmu arwah saya anggap sebagai benda yang amat mahal, kerana ia datang dari hati yang ikhlas dan akan terus saya amalkan selepas ini.

“Jika tidak ke hospital arwah tidak putus mengirimkan doa selain melakukan solat sunat tahajud untuk membantu saya.

“Kalau anjurkan perjumpaan keluarga, majlis lebih meriah apabila arwah ada, dia menghidupkan suasana. Bukan itu sahaja, malah selepas ini kami pasti merindui teh halia air tangan arwah yang mesti ada setiap kali anak-beranak berkumpul,” katanya ketika ditemui di Masjid Al Ehsan, Londang, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Katanya, selain banyak menghabiskan masa dengan berzikir arwah adalah seorang yang amat menjaga suruhan agama terutama solat lima waktu.

“Solat awal waktu sudah menjadi amalan arwah, jika mahu bercuti arwah tetapkan syarat, tempat itu mesti dekat dengan masjid, jika jauh dia pasti enggan ikut serta, itulah antara keperibadian arwah yang saya kagumi.

“Duduk dengan arwah tidak pernah bosan, pasti ada tazkirah, dia mahu berkongsi ilmu daripada majlis ilmu dihadiri, tidak pernah bercerita mengenai dunia. Pemergian arwah memberikan kesan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

623
Kongsi :
Previous post Cemas telefon bimbit suami tak berangkat
Next post Insentif Bijak Sejarah wajar diteruskan
Ubah saiz-+=