
Melaka tuan rumah Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-102
Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia Mohd Firdaus Mohamed berkata kejohanan yang diadakan secara karnival itu melibatkan 16 pasukan yang akan berkampung selama 12 hari di Melaka termasuk tiga pasukan jemputan.
“Tiga pasukan itu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).
“Kelaziman pertandingan ini diadakan secara liga di empat venue negeri yang berlainan namun pada edisi kali ini Melaka dipilih menjadi tuan rumah sebagai penghormatan bagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya pada sidang akhbar di Ayer Keroh di sini malam tadi.
Hadir sama Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Melaka Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.
Mengulas lanjut, Mohd Firdaus yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata perlawanan akan berlangsung di empat venue iaitu Stadium Hang Tuah, Stadium Tun Fatimah, Stadium Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Stadium Mini Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota.
Beliau berkata juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 manakala naib johan sebanyak RM30,000.
Sementara itu, Mohd Ridhwan berkata pemilihan Melaka sebagai tuan rumah merupakan penghormatan dan pihaknya berterima kasih atas kepercayaan untuk menganjurkan pertandingan bagi edisi ke-102 itu.
“Kita bersedia memberikan yang terbaik sebagai tuan rumah dan kita juga menyasarkan untuk menjadi juara Piala Emas Raja-Raja ini,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.