Melaka ke arah negeri separa industri, perlukan lebih ramai graduan TVET

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

AYER LIMAU 8 Jun – Kebolehpasaran graduan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) amat diperlukan Negeri Melaka bagi memenuhi permintaan sumber manusia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebagai sebuah negeri separa industri pada masa akan datang, pelbagai langkah awal telah dilaksanakan bagi memberi pendedahan dan menarik minat pelajar dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, bidang itu mampu memenuhi permintaan pekerjaan yang dibuka menerusi pelbagai sektor dari pelbagai industri yang beroperasi di negeri ini.

“Seperti dahulu negeri ini merupakan sebuah negeri pertanian dan akan menjadi sebagai sebuah negeri separa industri dan perkhidmatan.

“Perubahan ini memerlukan lebih ramai graduan mahir dan separa mahir dalam bidang TVET untuk ditempatkan dalam pelbagai peluang pekerjaan yang dibuka.

“Kerajaan Negeri sedang giat memperluas program TVET yang relevan dengan keperluan Revolusi Industri 4.0. Saya percaya, inisiatif Kerajaan Negeri menerusi pembangunan Malacca Center of Execellence oleh Majlis TVET Negeri Melaka pasti menjadi agenda utama dalam melengkapi ekosistem pelaburan untuk menampung keperluan tenaga mahir oleh pelabur sedia ada dan baharu pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Pendidikan dan Kerjaya TVET Peringkat DUN Ayer Limau di Dewan Tan Sri (Dr) Abu Seman, Paya Rumput, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta tetamu lain.

Dalam pada itu Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan dalam pelbagai usaha memartabatkan bidang TVET di Melaka.

Katanya, usaha itu sekali gus mampu mengurangkan kadar pengangguran di Melaka dan menjadikan negeri sebagai sebuah negeri yang berpotensi dalam peluang pekerjaan.

“Usaha ini turut mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan yang mana pada awal tahun 2024, Kerajaan Negeri juga telah menerima peruntukan tambahan berjumlah RM10 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi memperkasa program TVET sekali gus mempergiat sinergi di antara institusi TVET dengan pihak industri.

“Sehingga suku pertama 2024, kadar pengangguran negeri Melaka mencatatkan 2.2 peratus lebih rendah berbanding pengangguran nasional yang berada pada paras 3.3 peratus.

“Ini jelas membuktikan Melaka telah berjaya menurunkan kadar pengangguran daripada 2.9 peratus pada tahun 2023 dengan peningkatan peluang pekerjaan di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 2,000 pengunjung terdiri daripada pelajar sekolah dan golongan pencari pekerjaan hadir memeriahkan program terbabit.

Selain membuka peluang dalam pelbagai jawatan kosong ditawarkan, program itu turut dimeriahkan dengan pameran TVET, Pertandingan Pidato Peringkat Parlimen Masjid Tanah, Jualan Rahmah dan kejohanan bola jaring dan bola sepak.

Pada program itu juga seramai 36 murid cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh A+ bagi Subjek Sejarah dalam DUN Ayer Limau menerima Insentif Bijak Sejarah RM200 disampaikan Ab Rauf.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

129
Kongsi :
Previous post Perarakan perahu naga rancakkan pelancongan Melaka
Next post Kipas gergasi dipasang di Banda Hilir
Ubah saiz-+=