Jawatankuasa selesaikan isu banjir akan ditubuhkan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

LENDU 25 Nov. – Satu jawatankuasa membabitkan pelbagai agensi akan ditubuhkan bagi menyelesaikan isu banjir kilat berlaku di Masjid Tanah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali berkata, sebelum itu satu mesyuarat akan diadakan membabitkan Pejabat Daerah Alor Gajah, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) serta pelbagai lagi bagi menyelesaikan isu banjir kilat yang menjadi ‘fenomena tahunan’ itu.

Menurutnya, jawatankuasa yang membabitkan pelbagai agensi terlibat akan ditubuhkan bagi menyelesaikan senario terbabit yang berpunca dari masalah saliran dan perparitan.

“Perkara ini akan diselesaikan menerusi jawatankuasa terbabit agar mereka perlu mengkaji dengan teliti supaya masalah ini mampu diselesaikan.

“Bagaimanapun peristiwa yang berlaku ini hanyalah sekadar banjir kilat di mana air melimpah dari sungai sekadar melalui di kawasan ini sahaja.

“Ia bukannya banjir yang teruk berlaku dengan keadaan banjir ‘air termenung’ seperti fenomena yang berlaku di Durian Tunggal, Tehel dan Merlimau.

“Apa pun kita akan pastikan masalah banjir berlarutan saban tahun ini diselesaikan segera kerana ia hanya berpunca dari sistem saliran, jika selesai masalah saliran, selesailah semua perkara ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengunjungi kawasan yang terjejas akibat banjir kilat di Masjid Tanah malam tadi.

Dalam kunjungan tersebut, ia turut disertai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Mohd Fadhil Hasan serta jawatankuasa agensi lain dan melakukan perbincangan segera bagi menyelesaikan permasalahan penduduk di kawasan berkenaan.

Sementara itu, menurut Mohd Fadhil, pihaknya akan bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan berlaku berhubung kejadian banjir berlaku di daerah itu.

Ujarnya, pihaknya akan mengambil tindakan dengan bantuan sewajarnya dilaksanakan sekiranya keadaan itu membimbangkan.

“Keadaan yang berlaku hari ini dilihat terkawal bagaimanapun kita akan bersedia bagi menghulurkan sebarang bantuan dengan kerjasama kakitangan dan agensi terlibat,” katanya

Views:

242
Kongsi :
Previous post Sistem perparitan kecil, tidak lurus punca banjir di Kampung Seri Tanjung
Next post Top Glove jangka perolehan terjejas
Ubah saiz-+=