ITP meterai MoU tingkat kemahiran, profesionalisme rakyat Melaka
KESIDANG 7 Jun – Institut Tun Perak (ITP) memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama anak syarikat Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Utechtium Sdn. Bhd. dalam usaha mempertingkatkan kemahiran dan profesionalisme rakyat Melaka.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, menerusi perjanjian itu ia bakal memberikan pulangan kepada pelatih dan syarikat yang dilantik dalam aspek kredibiliti dan kualiti.
“Tujuan program lonjakan dan pengiktirafan kemahiran ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan profesionalisme rakyat di Melaka.
“Utechtium menyediakan lebih kurang tujuh program kursus yang telah pun terbukti memberi pulangan pelaburan kepada pelatih-pelatih dan juga syarikat yang dilantik.
“Ini kerana, kursus yang ditawarkan melebihi 400 peratus nilai ‘Return of Investment’ (ROI), jadi kerjasama ini juga bertujuan membantu rakyat Melaka mendapatkan sijil-sijil profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU di Pejabat ITP, Batu Berendam di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Khaidhirah menyaksikan pertukaran MoU di antara ITP yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee dan Pengurus Besar ITP, Hazzlan Sama, manakala wakil Utechtium diwakili Pengarahnya, Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Asari Sulaiman dan Ketua Bahagian Latihan Utechtium Sdn. Bhd., Norhana Zaini.
Dalam pada itu, Khaidhirah berharap latihan daripada kursus diberikan itu dapat memenuhi keperluan industri yang ada di Negeri Melaka.
“Melaka merupakan sebuah negeri yang sangat agresif dalam menerima pelaburan-pelaburan baharu sama ada dalam dan juga luar negara.
“Banyak inisiatif dan program-program begini akan dilaksanakan untuk kita pastikan agar Melaka terus menjadi salah sebuah negeri mesra pelabur.
“Ini termasuklah mewujudkan industri baharu yang sudah pasti memberi pulangan yang baik untuk peluang pekerjaan di Melaka, khususnya orang Melaka sendiri,” katanya.
Untuk rekod, tujuh kursus disediakan itu adalah Route to MBOT Professional Technologists, Pensijilan Penyelaras Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (OSH-C), Pensijilan Profesional Telekomunikasi 5G, Kursus Profesional 360 Real Estate Advance Programme (360 REAP), Kursus Pensijilan Kompetensi ROPE ACCESS IRATA Level 1, Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) dan Penyelia Keselamatan Tapak Bina (SSS).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.