Adik libas abang dengan parang gara-gara berebut motosikal

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KUALA LINGGI 7 Jun – Dipercayai kerana berebut motosikal jenis Yamaha LC 135, seorang adik tergamak melibas abangnya dengan parang dalam kejadian di Kampung Nelayan Kuala Linggi, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8.47 malam itu menyebabkan abangnya yang berusia 33 tahun mengalami kecederaan putus urat jari tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Ashari Abu Samah berkata, sebelum kejadian, abang mangsa telah dipukul dengan sebatang kayu oleh adiknya sebelum datang membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru.

Menurutnya, anggota Cegah Jenayah bersama anggota Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kemudiannya telah pergi ke rumah mangsa untuk menangkap suspek yang juga seorang penganggur.

Bagaimanapun, ketika abangnya masuk ke dalam rumah, dia telah diserang oleh suspek menggunakan parang sepanjang satu setengah kaki hingga menyebabkan kecederaan pada tangan kirinya.

“Suspek yang bertinda agresif bagaimanapun berjaya ditahan oleh pihak polis dan parang yang digunakannya turut dirampas.

“Mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka berikutan kecederaan parah pada jari kirinya yang tidak dapat digerakkan,” katanya.

Ashari berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurut beliau, pihaknya membuat permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Alor Gajah hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

486
Kongsi :
Previous post Doktor ditahan bantu siasatan kes cabul pesakit berusia 15 tahun
Next post Tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung enam hari
Ubah saiz-+=