TMM2024: Tahap kebersihan premis makanan dipantau – JKN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PENGKALAN BATU 7 Jun – Sebanyak 16 premis makanan yang didapati berada dalam keadaan tidak bersih diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa berkata, pihaknya memandang serius tahap kebersihan sesebuah premis makanan memandangkan tahun ini merupakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang menyaksikan negeri ini menjadi tumpuan pelancong.

Justeru, katanya, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) digerakkan turun padang sepanjang minggu bagi melaksanakan aktiviti pemantauan dan pematuhan domestik secara rutin.

“Sehingga Jun sebanyak 4,117 premis makanan termasuk restoran, dapur hotel, kantin sekolah dan dapur asrama diperiksa.

“Daripada itu, 16 premis makanan didapati berada dalam keadaan tidak bersih dan kemudiannya diarahkan tutup selama tujuh hari mengikut Seksyen (11) Akta Makanan 1983.

“Sebelum bermulanya TMM2024 lagi kita sudah membuat pemeriksaan antaranya di hotel, dan kedai makan termasuk memberi bimbingan agar segala prosedur operasi standard (SOP) diikut daripada itu kita dapati ia semakin memuaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Tilawah Al-Quran Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Melaka Tahun 2024, di Auditorium Masjid Al-Azim, semalam.

Menurut Ruzita, sebanyak 1,518 kompaun berjumlah RM153,450 turut dikeluarkan BKKM sejak awal Januari hingga Jun tahun ini.

“Selain mengeluarkan notis dan kompaun, kita turut mengambil 184 sampel makanan untuk dianalisis bagi memastikan makanan dijual atau dihidangkan tidak tercemar sekali gus menjamin keselamatan pengguna,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

143
Kongsi :
Previous post Notis sehingga Rabu, bersih segera kawasan rumah
Next post Doktor ditahan bantu siasatan kes cabul pesakit berusia 15 tahun
Ubah saiz-+=