KKM semak semula amalan kerja tangani beban kerja petugas di hospital
Menteri Kesihatan Datuk Deri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM juga mengambil langkah lain untuk menangani cabaran sedia ada antaranya dengan mengoptimumkan taburan pesakit dengan adanya hospital kluster, mengadakan kerjasama awam-swasta bagi aktiviti penyumberluaran dan mengerah kakitangan ke jabatan yang lebih memerlukan.
“KKM juga memanjangkan tempoh operasi klinik kesihatan untuk mengurangkan bebanan di hospital selain mengenal pasti kesenjangan tenaga kerja melalui tinjauan bekalan dan permintaan yang sedang dibuat dengan kerjasama Bank Dunia.
“Namun begitu, sekali pun kita berhasrat untuk meningkatkan sumber manusia kita, sumber kesihatan Malaysia terhad. Pembinaan sebuah sistem kesihatan yang berdaya tahan dan mampan memerlukan sebuah strategi pembiayaan yang komprehensif dan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu sebagai maklum balas kepada laporan sebuah portal kesihatan pada 3 Jun lepas berhubung situasi pegawai perubatan di hospital kerajaan perlu berdepan dengan jadual kerja tidak menentu.
Beliau berkata selari dengan anjakan paradigma KKM daripada rawatan kepada pencegahan penyakit secara proaktif, rakyat Malaysia diseru untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
“Hal ini penting terutamanya susulan pendedahan kadar prevalens penyakit tidak berjangkit (NCD) yang agak serius dalam dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan terbaharu.
“Saya menyeru agar para profesional kesihatan KKM terus bersabar sementara transformasi yang dirancang dapat dilaksana. Persefahaman dan sumbangan berterusan semua pihak amat dihargai, terutama bagi menjayakan perubahan positif yang diusahakan,” katanya.
Menurut Dzulkefly, KKM komited untuk menangani isu berkenaan secara serius, pada masa sama memberi jaminan terus memperkasa strategi mengikut keperluan, termasuk dengan mewujudkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan serta struktur upah yang lebih saksama. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.