Pengesahan waris sebenar Hang Tuah perlu kajian mendalam, saintifik
BANDA HILIR 5 Jun – Proses mengesahkan waris sebenar Laksamana Hang Tuah memerlukan penyelidikan mendalam dan kajian saintifik.
Ketua Penyelidik Kajian Memperkukuh Kewujudan Hang Tuah, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora berkata, proses menentu sahkan keturunan pahlawan Melayu itu perlu mengambil masa panjang untuk disahkan.
Beliau berkata, kumpulan penyelidik yang mengkaji kewujudan Hang Tuah juga tidak pernah mengiktiraf mana-mana pihak yang mengaku mempunyai susur galur pahlawan itu berikutan kajian masih dilaksanakan.
“Bagi kumpulan penyelidik, penemuan kepada waris Hang Tuah ini membolehkan pengumpulan sejarah dan artifak dari sumber baharu.
“Meskipun penyelidik ‘meraikan’ pihak-pihak yang mengaku sebagai waris pahlawan itu, ia bukan bermaksud kita mengiktiraf mereka kerana proses kajian ini masih panjang dan memerlukan penelitian yang lebih tuntas dan saintifik.
“Setakat ini terdapat tiga pihak mengaku waris Hang Tuah yang menetap di Duyong; Singapura dan Bintan, Indonesia dan jika perlu, kita gunakan teknologi terkini seperti pentarikhan karbon (carbon dating) dan cerapan menggunakan asid deoksiribonukleik (DNA) untuk membuktikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Kajian Penyelidikan Hang Tuah Menerusi Sumber-Sumber Baharu di Dewan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kajian yang dilaksanakan sejak Ogos tahun lalu berjaya menemukan manuskrip dan penulisan berhubung pahlawan itu yang ditulis dalam berbagai bahasa seperti Jerman, Perancis, Rusia, Belanda, Thailand dan Indonesia.
“Matlamat kajian ini adalah untuk memperkukuh kewujudan Hang Tuah menerusi sumber-sumber baharu yang diterima berdasarkan dapatan yang diperoleh dari beberapa negara luar.
“Terdapat banyak manuskrip dan penulisan berkaitan Hang Tuah belum diteliti dan kajian lanjut perlu dilakukan termasuk yang berada luar negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.