Masuk percuma hadiah untuk rakyat Melaka, boleh tebus sehingga 31 Disember

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

KLEBANG 5 Jun – Kerajaan Negeri mengumumkan inisiatif kemasukan percuma ke beberapa pusat tarikan pelancong di negeri khas untuk rakyat Melaka dan pemastautin di negeri ini bermula 24 Ogos depan.

Tawaran istimewa itu diberikan bersempena Ulang Tahun Kelahiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Menjelaskan inisiatif tersebut, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memaklumkan, tawaran itu bukanlah diberikan selama sehari, sebaliknya ia boleh ditebus bermula 24 Ogos sehingga 31 Disember.

Beliau bagaimanapun berkata, mekanisme mengenai kaedah penebusan tawaran itu akan diumumkan secara terperinci sedikit masa lagi.

“Ini merupakan hadiah kepada rakyat Melaka bersempena ulang tahun kelahiran Tun Dr. Mohd Ali yang mana rakyat Melaka boleh menikmati produk pelancongan secara percuma bermula 24 Ogos hingga 31 Disember.

“Kali ini, rakyat Melaka tidak perlu beratur (untuk membeli tiket) sebaliknya hanya (menebus) melalui hujung jari dalam satu aplikasi khas yang akan diumumkan.

“Aplikasi itu boleh diakses oleh rakyat Melaka dan pemastautin di negeri ini, di mana mereka akan diberikan kupon khas untuk menebus dan menikmati tarikan pelancongan yang ada di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Makan Malam Sempena Pelantikan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka Bagi Penggal Ke-2 di Encore Melaka Impression City, di sini, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Tun Dr. Mohd Ali dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Hadir sama, Ketua Menteri Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Anselm Charles Fernandis dan Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan setiap satu rakyat Melaka akan dapat menikmati salah satu produk pelancongan di Negeri Melaka.

Beliau berkata, antara produk pelancongan yang terlibat adalah seperti Zoo Melaka, Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, muzium serta pelbagai tarikan lain yang akan diumumkan.

“Setiap produk ini boleh digunakan pada bila-bila masa (daripada tempoh yang diberikan) dan tidak terhad pada hujung minggu sahaja.

“Pemberian ini susulan pelbagai kejayaan yang diraih, selain sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Melaka sempena pelantikan Tun Dr. Mohd Ali sebagai Yang di-Pertua Negeri bagi penggal kedua,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2248
Kongsi :
Previous post UTeM jalin kerjasama dengan 3 institusi pendidikan tinggi TVET Jerman
Next post Kerajaan Melaka rai pelantikan penggal kedua Tun Dr. Mohd Ali
Ubah saiz-+=