Dua peristiwa segar diingatan Tun Dr. Mohd Ali

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

SERI NEGERI 5 Jun – Tanggal 4 Jun 2020 menjadi tarikh penting buat Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam apabila menjadi anak Melaka pertama dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Pelantikannya ketika itu bukanlah waktu yang paling ideal untuk menaungi negeri kerana seluruh dunia sedang berperang dengan pandemik COVID-19.

Namun itu bukan penghalang kepada anak jati Kampung Bukit Katil itu untuk memberikan yang terbaik kepada Negeri Melaka sehinggalah berakhirnya era pandemik dan urusan rakyat kembali seperti biasa pada masa kini.

Tun Dr. Mohd Ali mengakui era pandemik COVID-19 menjadi antara episod menarik untuknya sepanjang bergelar Yang di-Pertua Negeri.

Ini kerana menurutnya, pada waktu itu, seluruh negeri berdepan cabaran cukup getir yang menyaksikan rakyat terpaksa berkurung di rumah dan sektor kesihatan hampir terjejas berikutan lambakan pesakit hingga memaksa hospital hibrid dan pusat kuarantin dibuka.

Selain itu, ujar beliau, penularan berita-berita palsu juga menjadi cabaran yang terpaksa ditempuh terutama membabitkan pemberian vaksin yang didakwa membawa kepada kematian.

“Namun, saya bersyukur kerana situasi getir itu dapat dikawal dan kini kita berada di fasa endemik yang mana rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Bagi saya ini antara peristiwa tidak dilupakan, namun saya berdoa agar kita semua sentiasa dilindungi Allah SWT dan semoga COVID-19 atau penyakit berbahaya lain tidak lagi melanda negara,” katanya pada wawancara khas bersama Melaka Hari Ini bersempena pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri bagi penggal kedua, di pejabatnya.

Selain pandemik COVID-19, Tun Dr. Mohd Ali turut mengenang satu lagi peristiwa pergolakan politik yang berlaku di bawah eranya sebagai Yang di-Pertua Negeri yang mana terpaksa membuat keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri hingga memaksa Pilihan Raya Negeri diadakan pada November 2021.

Menurut beliau, peristiwa itu berlaku rentetan ada di antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tidak lagi menyokong kepimpinan Kerajaan Negeri yang diketuai Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali pada waktu tersebut.

“Saya mengambil keputusan itu (membubarkan DUN) kerana tidak mahu melihat Negeri Melaka seperti ‘kedai kopi’ yang boleh keluar dan masuk sesuka hati. Alhamdulillah, apabila PRN diadakan, rakyat telah memilih Kerajaan Negeri baharu yang berjaya mencapai sokongan dua pertiga.

“Selepas kira-kira setahun setengah, Ketua Menteri pada ketika itu (Sulaiman) pula mengambil keputusan meletak jawatan dan memberi peluang kepada Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengambil alih kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Alhamdulillah, Ab Rauf yang memimpin negeri sekarang telah menjalankan tugas dengan baik apabila meneruskan dasar-dasar sebelum ini, selain menambah slogan baharu ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ untuk mewajah Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

172
Kongsi :
Previous post ‘Floating Market Melaka’ kini ‘port’ santai pilihan
Next post Pekerja kilang maut motosikal rempuh Myvi
Ubah saiz-+=