‘Floating Market Melaka’ kini ‘port’ santai pilihan
BANDARAYA MELAKA 5 Jun – Pasar terapung atau ‘Floating Market’ memulakan operasi 1 Jun lalu bersempena Program Melaka Bila Larut Malam atau ‘Melaka Nightlife’ menerima sambutan hangat daripada pengunjung domestik dan antarabangsa.
Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Khairunnisa Ibno Masooda, menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM berkata, kira-kira 10 peniaga Floating Market sudah memulakan operasi dengan menawarkan pelbagai jenis makanan.
“Selain Floating Market satu lagi tarikan iaitu ‘Windmill Pink Market’ mula beroperasi 1 April lalu memeriahkan lagi suasana di Dataran PPSPM. Lokasi ini menjadi tumpuan ramai pengunjung dan pelancong pada Program Melaka Bila Larut Malam yang lalu.
“Dengan adanya dua ‘port’ santai ini, ditambah dengan tawaran Melaka River Cruise (MRC), Sungai Melaka semakin meriah. Selepas ini kami sasarkan lebih ramai akan berniaga di Floating Market,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Khairunnisa berkata, Floating Market dan Windmill Pink Market beroperasi dari lewat petang hingga awal pagi dan dibuka setiap hari kecuali Selasa.
Menurutnya, sambutan hangat diterima daripada pengunjung sejak Program Melaka Bila Larut Malam dan cuti sekolah menarik minat ramai peniaga untuk bertapak di kawasan itu.
“Pada awalnya kurang 50 peniaga beroperasi di Windmill Pink Market, namun tetap dibuka kepada orang ramai. Tetapi sekarang kami terima 100 peniaga baharu kerana Windmill Pink Market sudah terbukti sebagai port santai pilihan pengunjung dan pelancong datang ke Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.