Statistik pelancongan Melaka mendahului negeri lain

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SERI NEGERI 4 Jun – Statistik pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) mendahului beberapa negeri yang turut menganjurkan Tahun Melawat Negeri pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, TMM2024 menunjukkan perkembangan amat positif apabila seramai 5.12 juta pelancong direkodkan melawat Melaka setakat April lalu.

“Zon Bebas Kenderaan (Car Free Zone) pula mencatat lebih 1.36 juta pelancong yang mahu menikmati kebebasan suasana pelancongan tanpa kenderaan, selain mengurangkan kecenderungan risiko kemalangan. Inisiatif ini merupakan langkah proaktif mengurangkan pembebasan asap kenderaan atau ‘carbon emission’ sekitar Bangunan Merah di Banda Hilir.

“Seiring usaha tersebut, Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif memindahkan lokasi Uptown Pahlawan Walk ini ke kawasan berhampiran Car Free Zone yang mana telah berjaya meningkatkan 25 peratus hasil perniagaan peniaga terlibat.

“Kita yakin kempen TMM2024 ini akan menjadi kayu pengukur untuk Melaka mencipta lebih banyak kejayaan dalam sektor pelancongan selain dapat menggerakkan pertumbuhan ekonomi negeri yang progresif dan dinamik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Taat Setia Ketua Menteri bersempena Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Bagi Penggal Ke-2 di Balai Istiadat, Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Istiadat angkat sumpah itu disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Anselm Charles Fernandis dan Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Hadir sama pada istiadat itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Zuriyah Ab Aziz; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Hakim Mahkamah Tinggi Melaka Mohd Radzi Abdul Hamid dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

218
Kongsi :
Previous post Sultan Ibrahim berkenan hadiri jamuan teh bersama rakyat Melaka
Next post Ekopelancongan Paya Lebar tarik 1,437 pelancong
Ubah saiz-+=