Ekonomi Melaka diunjur berkembang sejajar KDNK nasional

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SERI NEGERI 4 Jun – Usaha berterusan Kerajaan Negeri memperkukuh pertumbuhan ekonomi menunjukkan impak yang amat menggalakkan dengan diunjurkan berkembang kira-kira empat hingga lima peratus sejajar dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berdasarkan prestasi semasa, sektor perkhidmatan dan pembuatan masih kekal sebagai penyumbang utama iaitu masing-masing sebanyak 50.5 peratus dan 37.2 peratus kepada KDNK Negeri Melaka.

“Statistik kadar pengangguran Negeri Melaka bagi suku pertama 2024 adalah 2.2 peratus lebih rendah berbanding pengangguran nasional yang berada pada paras 3.3 peratus

“Ini jelas membuktikan Negeri Melaka telah berjaya menurunkan kadar penggangguran daripada 2.9 peratus pada 2023 susulan peningkatan peluang pekerjaan,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Taat Setia Ketua Menteri bersempena Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Bagi Penggal Ke-2 di Balai Istiadat, Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh.

Menurut beliau, selain perkembangan ekonomi, Kerajaan Negeri sentiasa mengorak langkah proaktif bagi memperkukuh sinergi perpaduan dan keharmonian yang menjadi kunci utama dalam memperkasa kelestarian bumi bertuah ini.

Justeru kata Ketua Menteri, pada 25 Mei lalu Kerajaan negeri menerusi Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menganjurkan Konvensyen MADANI dan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Konvensyen ini bertujuan memeta hala tuju masa depan Malaysia berteraskan enam rukun MADANI iaitu Mampan, Sejahtera, Berdaya Cipta, Saling Menghormati, Kayakinan dan Ihsan.

“Kerajaan Negeri komited memastikan agar seluruh rakyat dapat menghayati dan memahami prinsip serta nilai-nilai yang ditekankan dalam konsep MADANI itu sendiri. Bersama-sama kita meneroka strategi dan membina semangat kesepaduan daripada segenap aspek,” kata Ketua Menteri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

208
Kongsi :
Previous post Rakyat Melaka dapat masuk percuma ke lokasi pelancongan, 24 Ogos depan
Next post Tun Dr. Mohd Ali mahu rakyat Melaka saling berkasih sayang, tolak ansur
Ubah saiz-+=