Tun Dr. Mohd Ali angkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

SERI NEGERI 4 Jun – Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini, mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7, bagi penggal ke-2.

Ketibaan Tun Dr. Mohd Ali ke Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Bagi Penggal Ke-2 di Balai Istiadat, Kompleks Seri Negeri, di sini, pada jam 10 pagi, turut diiringi isteri Toh Puan, Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Istiadat angkat sumpah jawatan itu disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Anselm Charles Fernandis dan Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri Datin Seri Utama Zuriyah Ab Aziz; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Hakim Mahkamah Tinggi Melaka Mohd Radzi Abdul Hamid serta Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Yang turut hadir barisan Exco dan Timbalan Exco, ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan.

Terdahulu Tun Dr. Mohd Ali menandatangani Surat Cara Sumpah Jawatan dan kemudian mendengar ucapan taat setia disampaikan oleh Ketua Menteri.

Seterusnya Tun Dr. Mohd Ali, menyampaikan ucapan diikuti bacaan doa oleh Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan kemudiannya diakhiri dengan perarakan beredar beliau bersama isteri meninggalkan dewan istiadat pada jam 11.20 pagi.

Pada 28 Mei lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Tun Dr. Mohd Ali sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka bagi penggal kedua, bermula 4 Jun 2024.

Istiadat pengurniaan itu berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara yang turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau akan menjawat jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka bagi tempoh empat tahun.

Sebelum ini Tun Dr. Mohd Ali, 75, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ke-7 pada 4 Jun 2020 bagi menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob dan menjadi anak jati Melaka pertama memegang jawatan itu.

Tun Dr. Mohd Ali, yang berkelulusan Ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) dari Universiti Sains Malaysia (USM) pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Batu Berendam sejak 1995 hingga 1999 dan Ketua Menteri Melaka ke-9 dari 1999 hingga 2013.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

174
Kongsi :
Previous post Orang ramai diminta waspada, jangan muat turun sebarang APK
Next post Rakyat Melaka dapat masuk percuma ke lokasi pelancongan, 24 Ogos depan
Ubah saiz-+=